Pengundi Umno-BN : Sekular-jahil?

Semusim kempen pilihan raya kecil Tenang berlangsung (22-30 Januari 2011), Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku al-Musyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan telah berkesempatan membuat kenyataan yang mencuit perasaan ‘agama’ kalangan pemimpin Umno. Kenyataan mencuit itu berhubung dengan penggunaan kalimah ‘jahiliah’ yang dirujuk kepada mana pengundi yang tidak sedia membuat perubahan dari mengundi BN kepada PAS.

Ekoran daripada itu, Tan Sri Muhyidin Yasin dan Datuk Seri Utama Rais Yatim adalah antara pemimpin Umno yang memberi respons bernada bangkangan. Bagi pemimpin Umno itu kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai fatwa dan menganggapnya bercanggah dengan Islam. Sebenarnya itu hanya suatu cuitan dari seorang pemimpin PAS yang faham dengan apa yang ia nyatakan.

Mungkin dua pemimpin Umno totok itu terasa terhina dengan cuitan itu. Bagi mereka semua pengundi BN itu adalah tidak jahiliah, berilmu dan faham Islam. Sekiranya mereka berdua bersetuju dengan penggunaan ‘jahiliah’ itu merujuk kepada pengundi BN, maka seolah-olah mereka berdua juga adalah pemimpin yang jahil. Sedangkan mereka adalah bertaraf pemimpin dan menteri. Mereka tidak jahil kerana merekalah yang memimpin pengundi BN agar tidak mengundi PAS. Lantaran itu, mereka marah bila dikaitkan kalimah ‘jahiliah’ itu dengan mengundi BN.

Si-tua lagi jahil

Dr. Mahathir juga turut celupar menilai kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berikutan respons terhadap pandangan Lee Kuan Yew yang meminta orang Islam di Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada agama sekiranya ingin berintegrasi dengan masyarakat lain ke arah membina negara-bangsa.

Sememangnya patut Kuan Yew bercakap begitu kerana dia bukan Islam. Justeru Tuan Guru Nik Abdul Aziz membidas Umno yang tegar dengan dasar kebangsaan yang mendakwanya dirinya Islam, tetapi pada masa sama menolak langsung perjuangan Islam. Mungkin kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai makna yang mendalam. Apa tidaknya, pengalaman selaku Menteri Besar ketika menguruskan dasar Islam dalam pentadbiran negeri Kelantan, acapkali berdepan dengan bangkangan totok pemimpin Umno yang berjuang ikut ideologi kebangsaan (nasionalis). Disebabkan sifat totok nasionalis itu, sehingga menampakkan pemimpin Umno itu lebih mengutama dan membesarkan ideologi nasionalis daripada ajaran Islam itu sendiri.

Masih dalam ingatan, tatkala Kerajaan Negeri Kelantan menjalankan dasar memuliakan wanita mellui pemberian curti bersalin 60 hari (kini 90 hari). Ramai pemimpin wanita parti nasionalis itu mengutuk, membangkang dan mempersenda program cuti itu beralaskan logik akal dan ideologi ‘free-thinking’ kononnya memundurtkan ekonomi wanita. Begitu pula, apabila cuti dua hari diperkenalkan untuk pentadbiran awam, mereka secara totok mengulangi hujah yang sama dan menolak prinsip psikologi Islam untuk kakitangan awam. Kemudian tatkala memperkenalkan dinar dan dirham atas prinsip mengembalikan maruah wang syariah, maka pelbagai komentar jengkel dan tumpul diluahkan oleh pemimpin Umno yang idealis nasionalis.

Paling tidak boleh dilupai oleh umat Islam dan rakyat Kelantan adalah penghinaan Dr. Mahathir terhadap hukum Allah tatkala menfatwakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II sebagai ‘hudud PAS,’ sedangkan ia digubal berteraskan hukum Islam dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan serta diperkenankan oleh Sultan Kelantan selaku Ketua Agama Islam.


Apakah amalan Islam Dr. Mahathir kukuh ketika itu? Nampak jelas, Dr. Mahathir kini ibarat si-tua lagi jahil dengan asas ilmu untuk mempertahan Islam. Sebaliknya, ia sudah berjaya menjadi si-tua yang totok menghuduhkan wajah perjuangan Islam. Justeru tidak layak Dr. Mahathir (seperti mana disebut di dalam blognya, 31 Januari 2011) menghentam Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan rangkapan bangkangan yang amat mengelirukan.


Tidak cukup dengan tindakan bangkangan tersebut, sifat pemimpin Umno seperti Dr. Mahathir yang jelas tidak mesra Islam turut terpengaruh atau dua-kali-lima dengan pihak penjajah zaman negara ini dijajah. Mengikut sejarah, gerakan kesedaran dan kebangkitan semangat Islam telah dimulakan oleh alim-ulama sehingga tertubuhnya parti Islam pertama Hizbul Muslimin. Kemudian parti Islam itu diharamkan, malah pemimpinnya Ustaz Abu Bakar al-Baqir dipenjara oleh penjajah tahun 1948 ekoran daripada hasutan pemimpin Umno. Hal ini mengundang perpecahan umat Islam disebabkan tindakan pemimpin tersebut. Maka sejarah mencatatkan pihak yang memecah-belah perpaduan umat Islam yang pertama di negara ini bukannya pemimpin PAS, tetapi pemimpin Umno.


Dr. Mahathir cuba menutup sejarah atau hanya baca sekerat dan skip sekerat lagi. Kalau baca kesemuanya kandungan sejarah itu, maka rupanya buruklah Umno. Selayaknya disebut bahawa sejarah membuktikan pemimpin Umno-lah punya angkara atas kesemua perpecahan ummah.


Tidak cukup dengan sejarah itu, betapa pemimpin Umno-lah menangkap pejuang kemerdekaan generasi pertama, seperti Ahmad Bostaman, Burhanudin al-Helmi dan Ishak Haji Mohamad (Pak Sako). Mereka jugalah yang menangkap alim-ulama yang membaca ayat-ayat al-Quran ketika menegur perjuangan kebangsaan. Termasuklah juga, kerana arahan merekalah polis telah membunuh Ustaz Ibrahim Libya yang membuka pondok pengajian Islam di Memali.

Di mana Islam era Najib?


Sekelumit pertanyaan, apa sudah jadi dengan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh (Tun) Abdullah Ahmad Badawi pengganti Dr. Mahathir? Ke manakah perginya penerapan Islam (Islamisasi) era Mahathirisme. Kenapakah pula, era Najibisme sekarang Islam tidak disebut lagi sebagai slogan––Islam Hadhari pun tidak, penerapan Islam pun tidak?


Apakah hal Islam era Najibisme sudah diranapkan oleh keangkuhan nasionalisme-sekularisme-jahiliah yang memerintah? Malangnya, era Najibisme kini telah menyerlahkan slogan ‘permata’ mendapat keutamaan dan peranan isterinya, Rosmah itu lebih dipopularkan dari slogan Islam.

Tidakkah terasa bahawa atas sifat ‘kekuasaan’ dan tindakan pemimpin Umno mempertahankan ‘kuasa’ maka berlaku tindakan politik nasionalis sedemikian? Apakah itu semua tidak boleh dianggap ‘teruk’ dan membodohkan rakyat di negara ini kepada memahami Islam sebagai agama yang suci.

Nasionalisme-sekularimse-jahiliah

Segala-galanya yang dibentangkan adalah menampakkan pemimpin parti nasionalis itu akan membangkang apa sahaja usaha Kerajaan Negeri Kelantan apabila mengaitkan programnya dengan Islam atau atas tanggungjawab memakmurkan wajah Islam. Maka, amat padan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menghamburkan ‘political cynisism’ bagi menerangkan rupa sebenar pejuang nasionalis berperangai ‘political animal’ dan selalu bersifat totok terhadap PAS yang komited mempertahankan nilai Islam sebagai perjuangan rakyat Malaysia. Justeru layaknya perjuangan Umno disiniskan sebagai parti nasionalisme-sekularisme-jahiliah.

Sesungguhnya perjuangan Umno-BN itu sebagai nasionalisme-sekularisme-jahiliah adalah berdasarkan pemahaman dan realiti serta idealisme yang berlaku. Dikatakan nasionalisme kerana perjuangannya adalah berpegang kepada satu ideologi (keyakinan) untuk mencipta dan mempertahankan kedaulatan Malaysia melalui satu konsep beridentitikan ‘satu Malaysia’ bersama untuk sekumpulan pendukung parti ikatan (Barisan Nasional). Kesannya, membawa kepada ketaksuban nasionalisme etnik, iaitu nasionalisme yang meletakkan kepuakan (asabiah) demi mencapai dan mengekalkan kuasa yang bertapak di kepaukan rakyat. Prinsip nasionalisme rakyat ini bukan dibangunkan oleh Nabi Muhammad, tetapi dibangunkan oleh pemikir German, Johann Gottfried von Herder (1744–1803) melalui konsep Volk (bahasa German bermaksud "rakyat") yang mengutamakan "national spirit" dan "soul of the volk."

Demikian pula, perjuangan Umno-BN dikatakan sekular apabila memahami karya agung Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1978) “Islam and Secularism” yang menegaskan bahwa Islam menentang gagasan sekular. Disokong pula oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi (1987) menerusi karyanya “al-Islam wa al-'Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin” yang sependapat bahawa sekularisme adalah bertentangan dengan Islam. Sekularisme dan terjemahannya kedalam bahasa Arab 'ilmaniyyah dari akar kata al-'ilm (ilmu) atau 'almaniyyah berasal dari perkataan al-'alam (alam). Al-Qaradawi lebih cenderung kepada 'ilmaniyyah, sedangkan al-Attas lebih kepada 'almaniyyah. Sekularisme mempunyai makna yang khusus, iaitu makna yang tidak mempunyai hubungan dengan agama (al-din), ataupun kalau ada hubungannya dengan agama, maka hubungan itu adalah hubungan pertentangan.

Namun mengenai hubungan agama dan sekularisme, al-Qaradawi mengakui teori kebebasan agama yang dianut oleh sekularisme tidak sesuai untuk Islam. Menurutnya, walaupun ada seglongan berfahaman sekularisme liberal, iaitu tidak melarang umat manusia untuk beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan hari akhir, tetapi prinsip sekularisme jenis ini adalah "mengakui kebebasan beragama bagi setiap manusia". Atas prinsip ini, bolehlah dikatakan Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) adalah bersifat sekular kerana mengamalkan kebebasan beragama sebagaimana Perkara 3 yang mengiktiraf Islam tetapi pada masa sama mengiktiraf agama-agama lain. Justeru sama-sama sepakat bahawa sekularisme itu bukan saja bertentangan dengan Islam, bahkan tidak mendaulat atau mengagungkan Islam.

Kepekaan kedua-dua ilmuwan Islam itu terhadap permasalahan umat yang mendasar, sekaligus menunjukkan bahwa isu sekularisme tidak boleh dianggap ringan oleh orang-orang Islam sendiri. Ini kerana amat bahayanya faham sekularisme dan sekularisasi serta proses-prosesnya, sama ada di peringkat individu ataupun masyarakat, peribadi ataupun negara.

Demikian pula, perjuangan Umno-BN dikira terangkum dalam kancah jahiliah kerana kesan daripada parti itu memerintah sudah lebih 53 tahun penyakit jahil agama, buat al-Quran, kebangkangan kepada perjuangan menegak amal-maaruf dan nahi-mungkar, kejumudan perundangan sivil, ketakutan kepada perundangan syariah, kebobrakan sosial, peningkatan jenayah, rasuah menjadi fenomena, ketidak adilan terhadap rakyat marhain, tingginya jurang kemewahan elit vis-a-vis kedaifan rakyat, kebendaan tanpa madani, kronisme dan nepotimse kian parah dan pelbagai gaya hidup masyarakat umat Malaysia yang bertentangan dengan ketamadunan acuan Islam.

Gerakan anti-jahiliah

Justeru munculnya gerakan pendesak yang anti-jahiliah seperti Kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia menggambarkan Malaysia berada dalam era jahiliyyah sama seperti masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Pendirian Hizbut Tahrir itu berlandaskan apa yang berlakunya dalam negara ini yang mengalami kes jenayah yang menghantui kehidupan masyarakat, seperti jenayah rogol, pembunuhan, kekerasan, narkotik, pil psikotropik, jenayah harta benda dan jenayah komersial. Ditambah lagi dengan kes pengguguran dan pembuangan bayi (sama ada hidup atau mati), pelacuran dan perzinaan bermaharajalela, kepuakan dan kebanggaan kepada kaum dijadikan agenda perjuangan pemerintah (kerajaan BN). Puncanya ialah undang-undang sekular peninggalan penjajah yang diterapkan hari ini masih kekal dan tidak bersedia melaksana perundangan Islam yang adil. Sekaligus membuktikan kegagalan Umno-BN sebagai pareti kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang madani (berteraskan agama).

Berdasarkan apa yang digambarkan oleh Hibut Tahrir itum ia seakan sama dengan suasana kehidupan masyarakat Arab di ambang kelahiran Islam, iaitu berada dalam keadaan porak-poranda, seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup, pelacuran ada di mana-mana, perempuan di hina dan menjadi ‘alat’ memuaskan seks, pergaduhan dan peperangan sering terjadi hanya kerana hal yang remeh-temeh, sikap kebanggaan kepada asabiah dan wathaniah (patriotisme), sistem ekonomi yang penuh dengan penipuan timbangan dan pelbagai lagi kerosakan lainnya. Kesemuanya menjadi norma kehidupan ketika itu. Justeru masa kini pula, apabila Islam ditolak sebagai penyelesai kepada persoalan hidup manusia, maka suasana jahiliyah akan merundung kehidupan kita.

Apakah benar sekarang kita berada seperti di zaman jahiliyyah tatkala kita menolak dasar Islam dalam pentadbiran negara? Wan Azalina (Oktober 2008) dalam Milenia Muslim melihat masalah yang menimpa golongan ini sebenarnya adalah suatu akibat atau kesan yang berpunca daripada satu sistem kehidupan yang telah punah dan pincang. Golongan remaja, misalnya haari ini menjadi mangsa keadaan yang terjerumuis dalam kehidupan songsang yang di terapkan dengan ideologi sekular dan liberal yang diadun atas nama kemajuan, kemodenan, pembangunan, globalisasi dan materialistik yang di hiasi dengan sistem kapitalis. Sehingga nilai agama, adat dan budaya bangsa ditolak ke tepi. Ia melahirkan corak kehidupan masyarakat yang memisahkan urusan agama dari setiap aspek kehidupan harian seorang insan dengan fahaman bebas dan terbuka (dibaca sekularisme – penulis).

Diperkukuhkan lagi dengan jiwa masyarakat yang diserang dengan penyakit ‘wahan’, cinta kepada dunia dan takut kepada kematian. Berlumba-lumba mencari harta dunia dan kemewahan bagi memenuhi tuntutan hidup. Segala-galanya adalah tentang wang dan keuntungan. Akibatnya, lahirlah dan masyarakat yang runtuh moral dan akhlaknya, robek imannya hingga terkakis satu persatu nilai suci agama yang seharusnya menjadi pedoman dan penyelamat kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Sampai ketika dan kemuncak kepada kehidupan jahiliyah ini ialah bila diajak berjuang Islam mereka akan berdalih sebagaimana sikap Abu Jahal dan rakan ahzabnya yang menentang Nabi Muhammad SAW. Ia begitu kerana tidak sanggup bersama dengan perjuangan berasaskan agama yang berlawanan dengan nafsu keduniaan yang telah menyelubungi ragam dan resam hidup mereka.

Bila datang musim pilihan raya, maka pilihan bagi golongan ini ialah pastinya akan mengundi Umno-BN, kerana mereka akan meraih untung diunia dengan pelbagai pemberian dan umpan serta janji. Jika adapun kalangan mereka yang cuba beralih arah untuk menyokong kebenaran dan keadilan yang diperjuangakan oleh PAS-Pakatan Rakyat, akan muncul ‘defender jahiliah’ kalanhgan Umno-BN datang mengugut dan mengancam dengan pelbagai cara bagi mengikat golongan yang insaf agar kekal dengan semangat jahiliah. Natijahnya inilah maksud Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mencuit sentimen agama pemimpin dan puak Umno-BN ketika kempen pilihan raya kecil Dun Tenang yang lalu. Apakah cuitan Tuan Guru ini dianggap satu fatwa yang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan? Hanya jauhari yang mengenal manikam.


Oleh:

Wan Nik Wan Yussof, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan merangkap ahli Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

No comments

Powered by Blogger.