PKFZ : Mahkamah tolak permohonan pengerusi PKA saman Tiong

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman bekas ketua pegawai eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing terhadapnya berhubung beberapa artikel yang disiarkan di akhbar berkaitan skandal pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’hara menolak permohonan Lee itu dengan kos RM5,000 dan mengarahkan supaya kes itu didengar secara perbicaraan penuh.

Bagaimanapun mahkamah tidak menetapkan sebarang tarikh.

Pada 17 September 2009, Tiong memfailkan saman fitnah mendakwa Lee pada 26 Ogos 2009, mengucapkan dan menyiarkan perkataan fitnah terhadapnya kepada beberapa wartawan termasuk akhbar The Star dan The New Straits Times.

Tiong berkata perkataan itu pada penggunaan lazim dan maksud biasa memberi makna bahawa beliau merupakan pihak kepada konspirasi jenayah bersama beberapa yang lain dan beliau bersalah kerana pecah amanah.

Beliau berkata perkataan-perkataan itu bertujuan untuk memperkecil-kecilkan kedudukannya, profesion, perdagangan dan perniagaan.

Anggota Parlimen Bintulu itu berkata peguamnya telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Lee meminta Pengerusi LPK itu menyiarkan permohonan maaf dan berjanji tidak mengulangi dakwaan, tetapi sehingga kini Lee enggan memenuhi tuntutan berkenaan.

Tiong memohon ganti rugi am dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang sesuai ditentukan mahkamah.

Lee, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 9 November 2009 berkata defendan telah menggunakan perkataan-perkataan yang diadukan atas arahan majikannya, LPK dan Tiong tidak mempunyai sebab untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa setiap kali dakwaan penyiaran itu dilakukan pada hak keistimewaan dan perkataan-perkataan itu adalah satu ulasan adil mengenai hal-hal yang menarik perhatian umum.

-Bernama-

No comments

Powered by Blogger.