Rawatan rambut: Tribunal arah bekas VC, isterinya dibayar RM14,986

PUTRAJAYA, 23 Feb — Tribunal Tuntutan Pengguna hari ini memerintahkan syarikat pakar pemuliharaan rambut Yun Nam Hair Care Sdn Bhd membayar balik RM14,986 kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Profesor Emeritus Datuk Dr Sulaiman Md Yassin dan isteri.

Presidennya, Datuk Abu Bakar Awang membuat keputusan itu selepas mendapati syarikat tersebut melanggar kod perniagaan dan memerintahkan bayaran perlu dilakukan kepada pasangan berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Dr Sulaiman yang berpuas hati dengan keputusan itu berkata beliau dan isterinya, Datin Noor Rohani Mohd Noor bersetuju mengambil pakej rawatan rambut bernilai RM15,600 (RM7,800 bagi setiap orang) dengan bayaran ansuran RM650 sebulan, setelah dimaklumkan mereka mempunyai masalah kulit kepala, kekurangan nutrisi, berminyak serta berkelemumur.

Pasangan itu juga membayar RM2,776 bagi membeli beberapa produk seperti set losyen penyubur dan pembersih rambut ketika sesi rawatan percuma di Mid Valley pada Mei lepas.

“Selepas rawatan itu, dia (Yum Nam Hair Care) meminta kita untuk menambah program lain yang berjumlah RM15,000 lagi. Saya berasa bahawa ia tidak wajar. Saya berhenti dapatkan rawatan dan meminta tidak lagi memotong wang melalui kad kredit, tetapi pemotongan diteruskan.”

“Saya menulis dua pucuk surat, tetapi mereka tidak jawab. Jadi, saya bawa ke tribunal,” kata Dr Sulaiman, yang juga Felo Penyelidik Utama Universiti Putra Malaysia, kepada pemberita hari ini. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.