Saya mahu perjuangkan nasib kaum India – Ponmugam

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Bekas tokoh pendidikan Tamil yang baru menyerti KEADILAN, Ponmugam Ponnan berkata tujuan beliau menyertai parti adalah untuk memperjuangkan nasib kaum minoriti tersebut supaya berada di atas landasan yang sama dengan kaum Melayu dan Cina.

Ponmugam yang juga bekas wartawan dan peguam menyerahkan borang menyertai KEADILAN kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya semalam.

“Sudah tentu saya akan membela kaum India dari segi pendidikan yang merangkumi bahasa Tamil, budaya serta masalah sosial yang semakin serius. Walaupun terdapat bantuan yang diberikan kerajaan, namun masih tidak dapat diselesaikan.

“Ramai masyarakat India tidak mampu untuk meneruskan persekolahan mereka akibat kesempitan hidup kerana peluang pekerjaan untuk mereka sangat terhad dan menyumbang kepada pengangguran,” kata Ponmugam.

Sekiranya diberikan mandat memerintah negara, KEADILAN menjanjikan akan menyelesaikan masalah yang dihadapi kaum India termasuk soal perumahan, sosial, pendidikkan, ekonomi, budaya dan bahasa di negara ini.

Ketika ditanya mengenai pembabitan beliau dalam KEADILAN, Ponmugam membertahu beliau tidak teragak-agak untuk berkhidmat di mana-mana bahagian demi parti yang disertainya.

“Memandangkan baru semalam saya sertai KEADILAN, parti belum putuskan apa-apa lagi untuk saya berada di mana-mana cawangan. Penglibatan saya juga masih belum diputuskan dan akan menunggu arahan daripada parti sekiranya khidmat beliau diperlukan di mana-mana cabang,” kata beliau ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Menurut Ponmugam, khabar angin itu yang mengatakan sokongan kaum India merosot hanya desas-desus Kerajaan Umno untuk menakutkan Pakatan Rakyat, sedangkan sokongan daripada kaum itu tetap utuh.

“Kalau berkurangan, kenapa saya boleh masuk KEADILAN. Saya percaya KEADILAN adalah sebuah parti yang ditubuhkan di atas prinsip semua kaum diberi peluang yang sama termasuk pekerjaan, perniagaan dan pendidikan tanpa melihat kepada warna kulit. Dengan parti ini kita semua akan bergabung menjadi satu komuniti,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai keyakinannya untuk bersama KEADILAN selain memperjuangkan kaum minoriti tersebut supaya berada di atas landasan yang sama dengan kaum Melayu dan Cina.

“Saya percaya semua kaum dapat bergerak bersama dan saling hormat-menghormati seperti yang dianjurkan oleh KEADILAN,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.