Sejuta berhimpun tuntut Hosni undur
KAHERAH - Sekurang-kurangnya satu juta penduduk berhimpun di serata Mesir semalam yang terdiri daripada pelajar, doktor dan penganggur dalam tunjuk perasaan paling besar bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak.
Perhimpunan itu turut berlaku di bandar Iskandariah dan Suez.
Para penunjuk perasaan itu menolak janji pembaharuan yang dibuat oleh Hosni.
Ramai penunjuk perasaan itu melaungkan slogan revolusi dan selamat tinggal buat Hosni.
Tokoh pembangkang yang juga bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamed ElBaradei berkata, Hosni perlu meninggalkan Mesir sebelum pihak pembangkang memulakan rundingan dengan pemerintah mengenai masa depan negara berkenaan.
"Dialog boleh dilakukan tetapi ia akan hanya berlangsung selepas pemintaan daripada penduduk dipenuhi dan yang pertama daripada tuntutan itu ialah Presiden Hosni perlu meninggalkan (negara Mesir)," kata ElBaradei kepada stesen televisyen Al Arabiya.
Pada Isnin lalu, Hosni berjanji tidak akan melakukan kekerasan ke atas para penunjuk perasaan selepas para penentang menggesa sejuta orang berhimpun di Kaherah.
Ramai penunjuk perasaan mengibarkan bendera Mesir, termasuk sebuah bendera tertera perkataan yang meminta Hosni berundur bersama Zine El Abidine Ben Ali.
Zine El Abidine tersingkir sebagai Presiden Tunisia akibat perhimpunan rakyatnya pada bulan lalu.
Ahli-ahli jawatankuasa demonstrasi di bandar Iskandariah memeriksa kad-kad pengenalan para penyokong mereka bagi mengelak anggota-anggota polis cuba mensabotaj perarakan mereka dengan menyamar sebagai penunjuk perasaan dengan tujuan untuk mencetuskan kekacauan.
Di satu sudut kawasan pula, sekumpulan penunjuk perasaan membawa keranda Hosni dalam tindakan simbolik sambil melaungkan slogan: 'Hosni telah mati tanpa pengampunan Tuhan'.
Sementara itu, PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 300 orang telah terbunuh dalam pertempuran dengan anggota-anggota polis sejak rakyat Mesir bermula pada 25 Januari lalu.
Mereka menuntut supaya Hosni berundur dan menggesa demokrasi dan peluang pekerjaan baru diwujudkan di Mesir selain rasuah dan pencabulan hak asasi manusia dihapuskan.
Seorang lelaki yang baru keluar dari hospital selepas satu tangannya putus dalam tunjuk perasaan pada Jumaat lepas menyertai semula protes antipemerintah di Iskandariah semalam.
Tangan lelaki berkenaan, Osama Maghazi terpaksa dipotong selepas jari jemarinya hancur terkena tembakan peluru senapang polis Mesir.
Osama yang bekerja di pelabuhan berkata, dia sedang melintas semasa bantahan diadakan pada Jumaat lalu dan terperangkap dalam rusuhan yang tercetus.
"Adalah menjadi hak rakyat untuk menentukan takdir mereka," kata Osama yang berusia dalam lingkungan 30-an.
Menurutnya, dia gembira kerana perbuatan polis mencederakan tangannya mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran pada Jumaat lepas.
"Orang ramai menuntut supaya Hosni disingkirkan, Orang ramai melaungkan slogan satu suara, satu tuntutan," jelas Osama.
Para penunjuk perasaan juga menegaskan bahawa tuntutan supaya Hosni menamatkan pemerintahannya selama 30 tahun adalah suara ramai dan bukan didorong oleh mana-mana parti politik.
Bagi menzahirkan realiti tersebut mereka menjerit kata-kata seperti tiada parti, tiada kumpulan dan ia merupakan revolusi pemuda Mesir.
Satu kain rentang besar yang tertera ayat: 'Kami (penunjuk perasaan) akan mati tetapi Mesir (negara) akan terus hidup.'
Hosni tidak disukai rakyat kerana pemerintahnya didakwa korup selain tiada perkembangan ekonomi dinikmati penduduk.
Ramai penduduk di Mesir miskin selain pemerintah melakukan penindasan politik terhadap para penentangnya. - Agensi
No comments
Post a Comment