Sekali Lagi Muhyiddin Hina Rakyat Kelantan Dengan Isu Kemiskinan

Muhyiddin dakwa umat Islam pecah jika PAS masuk Sarawak


PUSA, 18 Feb — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bimbang PAS akan memecah belahkan masyarakat Islam jika ia memasuki negeri Sarawak.

Timbalan presiden Umno berkata rakyat Sarawak, khasnya masyarakat Islam, agar tidak mudah menerima dasar politik PAS yang berangan-angan untuk meluaskan kuasa.

“Saya takut kalau PAS masuk Sarawak ia akan memecah belah masyarakat Islam di sini. Di Kelantan 20 tahun PAS memerintah, kadar kemiskinan merupakan paling teruk,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Muhyiddin menyatakan demikian ketika berucap pada majlis tinjauan mesra di sini hari ini.

Dalam ucapannya Muhyiddin juga berkata kadar gaji pekerja ladang di negara ini masih lagi terlalu rendah sedangkan harga minyak sawit telah meningkat.

Memandangkan rakyat tempatan kurang berminat untuk bekerja di sektor perladangan kerana gajinya yang rendah, kerajaan pusat menubuhkan satu majlis perundingan di Kementerian Sumber Manusia untuk membuat kajian semula kadar gaji pekerja ladang agar setimpal dengan perkembangan industri perladangan.

“Pendapatan kerja di sektor perladangan tidak setimpal, sedangkan apa yang kita tahu seperti harga minyak sawit ketika ini merupakan antara yang terbaik, dan justeru itu pekerja yang bekerja di ladang sawit sepatutnya mendapat imbuhan gaji yang jauh lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis tinjauan mesra di sini hari ini.

Muhyiddin berkata sebagai permulaan kerajaan akan berunding dengan pihak pengurusan ladang syarikat milik kerajaan (GLC) untuk mencari langkah terbaik dalam menimbang semula kadar gaji pekerja di ladang masing-masing.

Menurutnya langkah itu, yang dipersetujui oleh kabinet minggu lepas, perlu dipercepatkan.

“Kalau boleh keputusan dapat dicapai sebelum rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan dalam usaha ini,” katanya.

Muhyiddin berkata di bawah pelan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), rakyat di Sarawak akan terus mendapat perhatian daripada kerajaan pusat khasnya dalam pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kadar pendapatan rakyat di luar bandar.

Katanya dalam pusingan pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10, sebanyak RM83 juta telahpun diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk menaik taraf kemudahan seperti jalan kampung, kemudahan air bersih serta bekalan elektrik di kawasan luar bandar di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri berkata hubungan yang baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah memudahkan lagi usaha untuk membantu rakyat di Sarawak yang masih perlukan banyak bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

No comments

Powered by Blogger.