Tiada kerajaan zalim kekal berkuasa – Wan Azizah

Fazallah Pit

KUALA LUMPUR: Tiada kerajaan yang zalim, korup dan menindas rakyat di mana-mana sekalipun, akan terus kekal berkuasa, sebaliknya tetap akan jatuh walau apapun juga cara yang digunakan bagi mempertahan kuasa sedia ada, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Suatu hari kelak tetap akan jatuh, mana-mana negara pun. Kerajaan yang sedemikian, jangan harap boleh kekal sampai bila-bila. Hanya masa yang akan menentukan (kejatuhan sesebuah kerajaan),” katanya merujuk kejatuhan regim Hosni Mubarak apabila ditanya mengenai kesan peristiwa di Mesir itu terhadap Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Cabang Wangsa Maju yang kini diterajui bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong, pagi ini. Lebih 100 orang menghadiri majlis sederhana itu.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah juga menerima 100 borang keahlian baru, selain merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN dan pelancaran Briged Keselamatan bagi cabang berkenaan.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan pemerintah dan rakyat di negara ini harus mengambil iktibar daripada kejadian di Mesir dan tidak menolak peristiwa seumpama itu berulang di Malaysia.

“Kita memanglah tidak mahu suasana huru-hara, sebaliknya parti berharap proses pertukaran kerajaan berjalan dengan baik,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.