Tugas Wajib Kerajaan Jaga Keselamatan Rakyat

Oleh A Kadir Jasin

SAYA tidak mahu membuat andaian baik atau buruk membawa balik atau membawa keluar penuntut kita dari Mesir atau mana-mana negara dalam keadaan darurat.
Tetapi saya prihatin terhadap kecemasan dan kegusaran ibu bapa dan ahli keluarga mereka kerana tiga orang anak-anak saya yang sudah dewasa pun belajar di luar negara. Tetapi mereka belajar di negara di mana situasi seperti di Mesir tidak berlaku. Dua belajar di Amerika dan seorang di New Zealand. Kini anak yang keempat baru ke luar negara juga


Mungkin situasi di Mesir sekarang genting dan unik. Genting kerana kita tidak tahu berapa lama dan apa kesudahannya tunjuk perasaan massa terhadap Presiden Hosni Mubarak dan unik kerana banyak institusi pengajian ditutup sementara.

Adalah menjadi tanggungjawab semua kerajaan di dunia memastikan keselamatan rakyat mereka ketika berada di luar negara. Yang berbeza hanyalah ada negara yang mampu dan banyak pula negara yang tidak mampu.

Jadi bagi saya, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa yang perlu dipuji dan dipuja kerana itulah tugas sebuah kerajaan. Apatah lagi jika kerajaan itu dipilih dan dibiayai oleh rakyat jelata.

Yang penting sekarang ialah sebahagian daripada penuntut kita di Mesir sudah dikeluarkan. Isu seterusnya adalah mendoakan agar keadaan di Mesir menjadi tenang dan selamat semula dan mereka boleh kembali menyambung pengajian. Bagi ibu bapa pula, mereka kenalah berfikir dan mencari jalan mengatasi kemungkinan krisis di Mesir berlarutan dan menyediakan tambang untuk anak-anak mereka balik semula ke Mesir apabila keadaan pulih.

Kita bukan tidak pernah mengalami keadaan begini, tetapi apa yang berlaku di Mesir menjadi begitu mencemaskan kerana kita dapat melihatnya secara langsung dan terus menerus dari kaca TV dan kita pula berhubung dengan anak-anak kita secara ‘virtual’ melalui emel, Skype, Twitter, Facebook dan sistem pesanan ringkas (sms).

Jadi apabila Kerajaan Mesir dalam kepanikan mereka untuk menyekat rakyat jelata berhubung antara satu sama lain dan menyemarakkan lagi protes terhadap Presiden Mubarak itu, telah menutup semua saluran komunikasi.

Ini secara spontan dan menyeluruh menjadikan Mesir ‘lenyap’ dari peta dunia. Dalam situasi itu, tentulah ibu bapa penuntut kita di Mesir sangat bimbang dan tertanya-tanya apa yang berlaku kepada anak-anak mereka. Inilah fungsi dan kesan dunia tanpa sempadan dan komunikasi di hujung jari.

Dulu pun keadaan cemas begini, berlaku. Bukan sahaja di luar negara malah di dalam negara pun berlaku. Saya ingat lagi bagaimana perhubungan telefon, telegraf dan pos terputus buat beberapa ketika apabila berlaku rusuhan kaum 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.

Ramai ibu bapa yang anak-anaknya bekerja atau belajar di Kuala Lumpur tidak mendapat khabar berita hingga berminggu-minggu lamanya kerana gangguan sistem perhubungan dan komunikasi.

Daripada pengalaman Mesir ini eloklah diwujudkan pelan kontingensi tetap di Kementerian Luar bagi menangani dan menguruskan kebajikan rakyat jelata Malaysia, khasnya penuntut di luar negara, terutama sekali di negara-negara di mana situasi politik dan bencana alam sering berlaku.

Dengan semakin ramainya penuntut kita belajar di luar negara, sama ada atas tajaan kerajaan, swasta atau perbelanjaan sendiri, dan pergi pula ke tempat-tempat yang kurang selamat dan sering dilanda bencana alam, maka eloklah diwujudkan pelan seperti itu.

Inilah pun tugas asas Kerajaan dalam dunia virtual di mana maklumat mengalir pantas dan berterusan. Dan ini jugalah tanggungjawab baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khasnya Tentera Udara dan Tentera Laut yang mempunyai aset jarak jauh seperti kapal terbang dan kapal laut.

Jadi janganlah kita hilang asas perkiraan kerana menjaga keselamatan rakyat jelata, sama ada di dalam negara atau ketika mereka berada di luar negara, adalah menjadi tanggungjawab asas dan fundamental sesebuah kerajaan yang sah. Yang sepatutnya mendapat pujian dan pengiktirafan adalah elemen-elemen dari sektor swasta yang menyumbangkan aset serta kemudahan milik mereka untuk turut sama membantu penuntut kita itu. http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.