ADUN DAP dakwa ditawar RM150,000 lompat parti

Aidila Razak

ADUN Bentayan, Gwee Tiong Hiang hari ini mendedahkan bahawa tawaran telah dibuat oleh pihak-pihak yang mendakwa mewakili perdana menteri supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebasd.

Dalam satu sidang akhbar di ibupejabat DAP di Kuala Lumpur, Gwee berkata, beliau telah ditawarkan RM150,000 wang tunai, 50 ekar tanah, sekurang-kurangnya RM5,000 elaun bulanan tambahan, sebuah pusat perkhidmatan dan seorang pembantu peribadi jika bersetuju melompat parti.

Menurutnya, seorang lelaki, yang pertama kali menghubunginya melalui telefon pada 26 September dan mendakwa sebagai setiausaha agung persatuan klan Wee Johor Baru, juga memberi jaminan bahawa Gwee, akan diberi sokongan jika bertanding menentang DAP dalam pilihan raya umum.

Gwee mendedahkan trankrip rakaman satu lagi perbualan telefon antara beliau dengan 'ejen' empat hari selepas dihubungi.

Katanya, 'ejen', tersebut, yang mendakwa mewakili perdana menteri, berkata wang tawaran itu akan datang dari pusat, tetapi akan disalurkan melalui persatuan berkenaan.

Rakaman perbualan dalam bahasa Mandarin pada 30 September itu juga diperdengarkan semasa sidang akhbar tersebut.

Gwee berkata, 'ejen' itu, bersama dengan seorang lelaki Melayu yang Gwee dakwa mewakili Jabatan Perdana Menteri, bertemu dengannya pada 28 September untuk buat tawaran pertama RM50,000.

"Lelaki itu berkata dia berasa kesian dengan saya bahawa kami
berkongsi nama keluarga yang sama dan dia mahu membantu saya kerana parti saya tidak mahukan saya lagi ...

"Tetapi saya rasa saya masih seorang (ADUN) DAP. Tawaran BN ini adalah tidak betul, saya perlu mendedahkan. Saya boleh memberitahu BN bukan setiap (ADUN) atau ahli parlimen DAP boleh dibeli. Saya sayangkan parti. Parti saya hanyalah DAP," kata Gwee, sambil mengesat air mata.

No comments

Powered by Blogger.