Bayi dengan kesan kelaran ditemui di asrama sekolah

BETONG, 17 Okt – Seorang bayi perempuan yang dipercayai dilahirkan semalam ditemui mati dengan kesan kelaran di bilik asrama perempuan sebuah sekolah menengah di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada 9.15 pagi ini bagi membantu siasatan.

“Selepas menerima laporan daripada pihak sekolah, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Betong ke lokasi kejadian dan menemui seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dengan beberapa kesan luka di bahagian leher, perut dan belakang badan,” kata Pemangku Ketua Polis Daerah Betong ASP Hendry Nyuhai dipetik Bernama Online.

Beliau berkata mayat bayi itu ditemui terbaring bersebelahan katil pelajar perempuan berkenaan.

Katanya polis turut merampas sebilah pisau yang ditemui disorokkan dalam selimut di tempat kejadian.

Pelajar perempuan itu dihantar ke Hospital Umum Betong bagi mendapat rawatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments

Powered by Blogger.