Dakwaan Umno akan miliki M'kini tak benar

Laporan yang mendakwa bahawa Malaysiakini sedang mengadakan perbincangan bagi pertukaran saham dengan media yang kepentingan Umno adalah tidak benar, kata ketua pegawai eksekutif portal berita itu, Premesh Chandran.

"Tidak ada kebenaran dalam dakwaan bahawa Malaysiakini akan dijual kepada syarikat berkepentingan Umno," kata Premesh.

Menurut beliau, Malaysiakini telah beroperasi sejak tahun 1999 sebagai sebuah organisasi media yang bebas dan akan kekal sebegitu.

Khabar angin bertiup kencang apabila portal The Malaysian Insider mendakwa Malaysiakini akan membekalkan berita kepada akhbar Malay Mail sebagai pertukaran untuk ekuiti dalam tabloid berkenaan.

Berikutan itu, satu lagi portal online Malaysia Chronicle membuat andaian bahawa perjanjian pertukaran saham mungkin berlaku dan beberapa personaliti media yang rapat dengan Umno akan menguasai sidang pengarang Malaysiakini.

"Kami telah meminta Malaysia Chronicle untuk menarik balik cerita mereka dengan segera," kata Premesh, sambil menambah bahawa portal berita itu tidak menghubungi Malaysiakini untuk pengesahan berita berkenaan.

Ketika berita ini ditulis, kedua-dua Malaysia Chronicle dan The Malaysian Insider telah mengemaskini laporan masing-masing berhubung penafian yang dibuat oleh Premesh.

Sepanjang lebih 12 tahun penubuhannya, Malaysiakini sering-kali dikaitkan dengan kepentingan politik dan perniagaan pihak tertentu yang tidak mempunyai sebarang asas.

Kepentingan majoriti Malaysiakini masih terletak di tangan kedua-dua pengasasnya, Steven Gan dan Premesh.

Pemegang saham kedua terbesar pula adalah sebuah pelabur media antarabangsa - Media Development Loan Fund atau Tabung Pinjaman Pembangunan Media - yang membeli hampir 30 peratus saham dalam Malaysiakini pada 2002.

Baki saham syarikat itu pula diagihkan kepada kakitangannya sejak beberapa tahun yang lalu, sebagai pengiktirafan sumbangan mereka kepada organisasi tersebut.

No comments

Powered by Blogger.