Hudud: Alasan DAP perlembagaan tapi Umno berbelit

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 3 Okt: Ketika hudud semakin menyerlahkan kemunafikan Umno, sekurang-kurangnya DAP tidak menolak hudud atas alasan Perlembagaan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"DAP sekurang-kurangnya menolak hudud dengan menggunakan hujjah Perlembagaan negara dan apa yang difahaminya sebagai prinsip sekularisme dalam perlembagaan itu.

"Tetapi, tanpa sebarang hujjah yang munasabah, malah berbelit-belit dengan dalih-dalih yang telah lama dipatahkan, Umno mengulang-ulang sikap menuduh hudud tidak sesuai dilaksanakan walaupun tidak berani lagi mencerca undang-undang hudud sebagai primitif dan sebagainya," kata beliau.

Mahfuz menekankan, sepatutnya para pemimpin Umno yang beragama Islam beriman kepada undang-undang Allah dan bukan mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan secara terang-terangan penghinaan mereka kepada undang-undang Allah kerana menyifatkannya tidak sesuai dan menggambarkannya tidak adil.

"Tidak mahu buat tidak memberikan hak kepada Umno untuk menghina undang-undang Islam.

"Kini, Umno tidak boleh lagi marah-marah kalau rakyat menuduh Umno bukan sahaja mengkhinati dan menjual bangsa, ugama Islam juga dihina dan dikhinati berulang-ulang kali," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengalu-alukan pandangan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari yang menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

Menurut Dr Abdul Aziz, beliau tidak nampak sebarang asas dan sebab yang memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hukum hudud.

Keperluan itu, katanya, tidak wujud sebab sebahagian hukum hudud sudah pun dilaksanakan dalam bentuk jenayah syariah.

"Contohnya zina dan murtad, cuma hukumannya tidak mengikut Islam," kata beliau.

Oleh itu kata beliau lagi, "logiknya mereka yang berkata hudud perlu pinda Perlembagaan (Persekutuan), maka apa yang ada itu, yakni jenayah syariah tadi, adalah tidak sah."

"Ini tidak masuk akal," kata beliau lagi.

Dr Abdul Aziz juga menolak pandangan Majlis Peguam yang menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan oleh negeri-negeri.

Wacana hudud adalah perkembangan sihat yang membuka minda kita, termasuk pengamal undang-undang. Kali ini umpamanya kita cuba melihat pelaksanaan di peringkat negeri; dalam kerangka jenayah syariah. Bukan dalam kerangka undang-undang jenayah konvensional di peringkat nasional.

"Ini merangsang minda; Majlis Peguam masih ketinggalan kerana melihat pelaksanaan itu dalam kerangka lama. Sebab itu, mereka kata ini retorik politik," kata beliau.

Dr Abdul Aziz berkata, adalah sesuatu janggal kerana Majlis Peguam tidak memberikan prinsip federalisme satu pertimbangan dalam kenyataannya berkaitan dengan isu hukum hudud.

"Prinsip (federalisme) adalah penting dalam membebaskan sistem (perundangan)," katanya lagi.

"Apabila perlembagaan membisu ataupun ada konflik seperti ini, maka undang-undang akan memberi laluan kepada negeri."

No comments

Powered by Blogger.