Hudud: Sejauh mana Najib beri laluan pada Kelantan

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 4 Okt: Dalam konteks pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kerajaan negeri ingin melihat sejauh mana kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam memberi laluan kepada Kelantan.

“Itu kita nak tengoklah. Jadi kalau kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib itu boleh memberi laluan kepada kita maka tidak ada masalah, dan boleh buat di Kelantan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Van Dakwah Bergerak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) di perkarangan Surau Al-Hikmah, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang dekat sini petang semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Mohamad Mustafa.

Hadir sama Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad, Pengarah JAHEIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan para pegawainya.

Mohd Amar mengajak masyarakat supaya melihat isu pelaksanaan hukum hudud itu dengan skop yang meluas terutama apabila Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 telah diluluskan Kelantan.

“Kita di Kelantan, kita telah luluskan, cuma tunggu masa pelaksanaan. Sebelum ini kita terhenti kerana amaran daripada Dr Mahathir pada waktu itu,” katanya.

Beliau tidak menolak dakwaan bahawa persepsi ditimbulkan masyarakat terhadap kedudukan yang ada itu adalah suatu ‘kelompongan’ dalam perundangan negara.

“Kalau kita nak menyalahkan Kerajaan Persekutuan, memanglah. Ini kerana (mereka yang masih terkeliru tentang hukum Hudud).

“Kita telah merdeka begitu lama, sudah 54 tahun, dan ini pada pandangan saya kesilapan kerajaan yang ada.

“Dia suka ‘escape’, lari…lari….tidak to face the real isu. Bagi kita parti Islam, kita tidak boleh lari, dan itulah cita-cita kita. Sesungguhnya kewujudan PAS ini kerana nak melaksanakan Islam,” tegas Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan.

Menurutnya, hasrat itu adalah selaras dengan matlamat PAS ditubuhkan sejak 21 tahun lalu.

Justeru, kata Mohd Amar, peluang perlu diberikan kepada PAS Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam itu.

“Hasrat PAS Kelantan melaksanakan hukum Hudud tidak berubah, dan tidak memaksa masyarakat menerimanya,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.