PAS tempelak Dr M, jamin mampu selamatkan kuasa politik Melayu

KUALA LUMPUR, 14 Okt — PAS, komponen Pakatan Rakyat memberi jaminan kaum Melayu negara ini tidak akan hilang kuasa, sebaliknya ia mampu menyelamatkan masyarakat Melayu Islam kerana Umno didapati gagal menjaga amanah bangsa sepanjang lima dekad lalu.

“Inilah jawapan kepada kebimbangan Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang mengatakan Melayu akan hilang kuasa dalam 10 tahun lagi,” kata ahli jawatankuasa PAS pusat Idris Ahmad menjawab pendirian bekas perdana menteri itu kelmarin.

Laporan media memetik Dr Mahathir berkata orang Melayu di negara ini dijangka kehilangan identiti dan kuasa terutama berkaitan hal sosial, politik dan ekonomi dalam masa 10 tahun lagi.

Kata Dr Mahathir, jangkaan itu berdasarkan trend perpecahan politik yang semakin ketara di kalangan kaum itu sehingga menyaksikan terdapat di antara mereka menjadi pihak minoriti dalam mana-mana perkongsian kuasa.

Apabila itu terjadi, katanya, golongan minoriti tersebut terpaksa meminta bantuan pihak lain demi kuasa, tetapi “berhutang” dengan pemberi “bantuan” berkenaan sehingga akhirnya membuatkan Melayu Islam kerugian.

Menurut Dr Mahathir, yang juga bekas presiden Umno, senario identiti Melayu Islam di Singapura serta keadaan ekonomi golongan itu di Thailand wajar dijadikan iktibar.

Pandangan Dr Mahathir itu bukan pertama kali diketengahkan. Beliau konsisten dengan pendirian seumpama itu sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Sehubungan itu Idris juga menegaskan, pandangan terbaru Dr Mahathir hanyalah kenyataan untuk memberikan talian hayat baru supaya orang Melayu terus menyokong Umno, ketika parti itu tidak popular di kalangan generasi muda yang celik maklumat.

Malah kata beliau, kenyataan itu adalah bayangan mimpi ngeri Dr Mahathir ketika menghadapi hari tuanya.

“Beliau sedang menyaksikan parti yang pernah beliau pimpin hampir 22 tahun mengalami muflis sokongan,” ujar beliau dipetik Harakahdaily.

Menurutnya, Umno bukan lagi parti keramat orang Melayu, ia hanya parti untuk menjadi pangkalan sementara bagi membolot kekayaan peribadi bukan untuk kepentingan bangsa dan agama.

“Insya-Allah doa (bekas presiden PAS) Allahyarham (Datuk) Fadzil Noor dikabulkan Allah supaya umur Tun Mahathir panjang dan ia akan melihat sendiri hasil daripada beliau memimpin negara. Bibit-bibit kerisauan sudah pun nampak pada hari ini,” kata beliau lagi.

Oleh itu tambah Idris, PAS perlu mengganti Umno demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara.

PAS, tambah beliau, terbukti dan teruji kerana mampu mentadbir dengan baik negeri yang mewakili majoriti Melayu Islam di Kelantan sejak 1990 sehingga kini telah berjaya menaikkan taraf orang Melayu.

Katanya lagi, kadar kemiskinan di Kelantan daripada nombor dua pada 1990 kepada nombor enam adalah satu bukti PAS mampu memelihara Melayu Islam.

Begitu juga, ujarnya ketika Umno berbangga partinya pandai menjaga Melayu tetapi begitu daif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri di bawah penguasaan mereka, contohnya Terengganu nombor dua termiskin di negara ini.

Jelas Idris, PAS yang menerajui Kelantan berjaya melunaskan hutang kepada kerajaan pusat sebanyak RM220 juta setakat 2010 sedangkan hutang yang ditinggalkan Umno pada 1990 sebanyak RM718 juta.

Katanya, Kelantan mampu mengurus dengan baik walaupun royalti minyak dirampas.

PAS, tambah beliau, mampu kerana pemimpin yang berpegang kepada prinsip amanah dan adil, merasakan bahawa pemimpin akan disoal di hari akhirat kelak, menolak sebarang bentuk perkauman dan pilih kasih kerana berlainan ideologi politik, bantuan diberi kepada mereka yang berhak, tanpa mengira parti politik.

No comments

Powered by Blogger.