Perjudikan One-Off hadapi PRU13

Oleh SAFAR JUMAAT

SELEPAS ketawa besar, dengan sokongan ampu-ampuan daripada rakanrakannya, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak nampaknya masih belum puas menerima pujian-pujian kerana mendakwa telah membentangkan Bajet Transformasi 2012.

Tiada siapa peduli, bajet yang dibentangkan ini merupakan sambungan daripada bajetbajet defisit yang sudah lama berlarutan, kerana Najib kelihatan gelabah untuk membacakan cadangannya itu di Parlimen, selepas Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah awal membentangkan Bajet Mesra Rakyat.

Bila Najib menyebut ‘one off’, ini bererti Najib cuba sebaik mungkin membelanjakan wang yang ada, bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat tempat di hati rakyat – jika tidak, dikhuatiri mereka yang sedang berkuasa sekarang tidak sempat membelanjakan apa yang ada, seandainya Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang sudah tidak dimenanginya lagi.

Dalam kegelabahan itu, beliau nampaknya terpaksa ‘sedia berbelanja boros’ kerana mahu memikat hati rakyat yang sudah dikesan tidak lagi mahu memberi peluang kepada BN untuk terus berkuasa.

Ini menyebabkan mereka mahu mencurahkan air di tempayan kerana mereka nampak, jika dengan cara ini akan dapat menadah hujan yang bakal turun atau, mereka akan berpuashati selepas segala-galanya dihabiskan, untuk mempertahankan Putrajaya hingga ke syiling yang penghabisan.

Untuk apa wang jika selepas ini hilang kuasa, kata seorang Ahli Parlimen BN yang ditemui selepas mendengar Najib membentangkan bajet.

Maknanya, Najib memperjudikan wang negara dengan harapan dapat meneruskan kuasa yang seperti telor di hujung tanduk.

Itulah sebabnya, ketika mengadakan program turun pandang ke Selangor, Najib memilih kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang BN kalah antaranya Ijok, Batu Caves dan Gombak Setia. Ini kerana mereka di Selangor yakin, jika boleh menang semula kerusi Ijok yang diwakili Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, harapan BN untuk menang semula Selangor agak cerah.

BN Selangor juga mengharapkan BN boleh menang kerusi Dun Batu Caves yang selama ini diwakili calon MIC dan Gombak Setia, kerana BN tidak bimbang kawasan sebelah Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang tetapi yang mereka khuatir ialah Gombak, Hulu Langat, Ampang Jaya dan Pandan.

Kawasan-kawasan di pinggir bandar ini, khabarnya cukup terkesan dengan pembentangan bajet baru-baru ini. Malahan, Najib juga tidak sabar-sabar untuk turun berkempen sebaik sahaja pembentangan dilakukan kerana mahu melihat sambutan daripada rakyat terhadap kehadirannya di mana-mana.

Bajet pilihan raya Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa bajet ini boleh dikatakan bajet pilihan raya atau sebagainya, kelihatan beberapa Menteri Kabinet tidak sabar-sabar mahu pulang ke kawasan masingmasing bagi membawa khabar gembira ini kepada pengundi di kawasannya.

Mereka seperti dapat suntikan semangat baru dari apa yang dibentangkan Najib tanpa mereka mempedulikan bahawa Najib membunuh langsung legasi perjuangan bekas Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi terhadap pembangunan modal insan.

Apakah ia disengajakan atau tidak, tiada siapa dapat menjawabnya tetapi kalau boleh Najib mahu seluruh rakyat Malaysia tidak lagi menyebut Islam Hadhari dan Modal Insan, gagasan Abdullah dahulu.

Dalam masa yang sama, Najib juga tidak menyentuh langsung Wawasan 2020 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun beliau menyebut di kalimah akhirnya pembentangannya bahawa apa yang sudah dilakukan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein On, Dr Mahathir dan Tun Abdullah, kini diteruskannya.

Itulah sebabnya Najib menyebut bahawa beliau baru 2 tahun lebih memimpin bagi meminta rakyat tidak menyalahkannya dengan apa yang berlaku sekarang hingga defisit meningkat dan hutang negara bertambah.

Najib sedar, tanpa sokongan kakitangan kerajaan, mana mungkin BN akan terus mengekalkan kuasa dan Najib juga sedar bahawa guru-guru merupakan jentera yang cukup dekat dengan pengundi.

Itulah sebabnya, kali ini Najib memberi tumpuan kepada gaji kakitangan kerajaan selain bonus dan skim kenaikan pangkat guru-guru yang dilihat perlu diutamakan jika mahukan sokongan golongan ini.

Najib sudah berkali-kali memberitahu, beliau tidak mahu bajet yang dibentangkannya dianggap sebagai dicedok dan terikut-ikut kehendak Buku Jingga tetapi dalam masa yang sama, apabila Najib memberi fokus kepada warga emas dan guru, ia sekali gus menjawab bahawa kesan Buku Jingga telah masuk ke pemikiran Najib.

Biarlah beribu kali Najib menafikannya tetapi mana mungkin ada pembelaan kepada bekas anggota keselamatan jika tidak kerana serangan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu?

Najib juga terpaksa memikirkan untuk membela nasib ahli-ahli parlimen kerana Najib tahu mereka yang bersama-sama BN pun tidak menentukan lagi pendiriannya jika nasib mereka tidak diperdulikan.

Najib tahu, tiada siapa yang boleh ‘dipercayai’ lebih-lebih lagi ada ahli parlimen BN pernah berucap di Parlimen mengatakan ‘apa guna duduk di rumah besar jika hanya berada di kaki lima. Lebih baik duduk di rumah kecil tetapi dapat duduk dalam rumah dan ada bilik disediakan’.

Apakah kata-kata itu tidak memberi kesan kepada tahap sokongan Ahli-ahli Parlimen BN? Jadi, selain dari pertemuan dan perjumpaan yang diatur, Najib sering diserang rasa bimbang kalau-kalau ada antara anggota BN yang berpaling tadah.

No comments

Powered by Blogger.