RM55 Juta Tidak Lesap

SHAH ALAM 15 OKTOBER : Kerajaan Selangor menyangkal dakwaan bahawa wang RM55 juta untuk penyelengaraan infrastruktur negeri pada 2009 telah “lesap”.

Sebaliknya, wang tersebut dimasukkan kembali ke dalam akaun penyelengaraan dan digunakan pada tahun 2010.

Dalam menjawab tuduhan Umno Selangor , Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar parti Barisan Nasional itu membuktikan tuduhannya bahawa wang itu lesap.

“Kita boleh menunjukkan setiap sen yang kita belanja. Kalau mereka kata wang ini tiada, mereka kena buktikan kepada kita,” Abdul Khalid berkata.

Akhbar hari Jumaat memaparkan laporan mendakwa wang RM55 juta itu merupakan baki daripada peruntukan kerajaan pusat kepada negeri bagi menyelengarakan kemudahan infrastruktur di Selangor.

Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed meminta penjelasan Menteri Besar berkenaan cara duit itu dibelanjakan.

Di dalam satu kenyataan, Pejabat Kewangan Negeri berkata pada tahun 2009 Selangor menerima sejumlah RM315.6 juta daripada kerajaan pusat bagi kerja-kerja penyelengaran jalan.

Manakala, penggunaan peruntukan ini pada tahun 2009 adalah berjumlah RM328.7 juta yang terdiri daripada pembayaran terus melalui Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri berjumlah RM78.7 juta dan juga pindahan kepada Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM250 juta.

Baki Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri pada 1 Januari 2009 dan 31 Disember 2009 adalah masing-masing berjumlah RM67.5 juta dan RM54.4 juta.

Jumlah RM54.4 juta yang merupakan baki Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 dibawa ke hadapan pada tahun 2010.

1 comment

maie1958 said...

penyamun zain nak bagi komen,kirim salam la....berapa banyak dia songlap projek masa dia jadi menteri kerjaraya dulu,banyak songil pulak..tak masuk sungai buluh sekarang dah baik,akan datang tak tau lagi????

Powered by Blogger.