Statistik Miskin Tegar : Awang Adek Silap Mengira

http://a5.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc7/s720x720/302577_10150412821933140_269683628139_10255856_1194567589_n.jpg

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin seperti yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia, hari ini 9 Oktober 2011 di halaman 11. Di dalam kenyataan tersebut, Awang Adek menyatakan bahawa Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober 2011 yang lalu akan memberikan manfaat kepada lebih 43,000 rakyat miskin tegar di Kelantan.

2. DPPNK kesal kerana angka yang dikemukakan oleh Awang Adek itu sangat tersasar dari realiti yang sebenar. Meletakkan bilangan angka miskin tegar seramai 43,000 di Kelantan seolah-olah menunjukkan bahawa beliau gagal mengira dengan baik dan hilang kelayakan untuk menjadi Timbalan Menteri Kewangan. DPPNK ingin mengingatkan kepada Awang Adek bahawa Kadar kemiskinan tegar di Kelantan hanya 0.6% di mana lebih rendah daripada kadar jumlah kemiskinan tegar peringkat kebangsaan 0.8%. Perkara ini didedahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr Mohd Nor Yaakob ketika rombongan Kelantan berunding mengenai teras asas dan pemulihan projek bagi pelaksanaan RMK 10 pada 25 Jan 2010.

3. Jika bercakap tentang angka, DPPNK ingin mengingatkan kepada Awang Adek terhadap kenyataannya sendiri pada 27 November 2010 sewaktu berucap pada perasmian Program Penempatan Pekerjaan Khas Azam Kerja Kelantan di Kota Bharu. Di dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutusan (JPP) Kelantan, Yahya Mamat, Awang Adek menyatakan bahawa daripada 4,396 yang disenaraikan sebelum ini, kini terdapat 50 ketua isi keluarga dikategorikan sebagai miskin tegar di negeri ini. Bahkan Awang Adek sanggup memberikan jaminan bahawa miskin tegar di Kelantan akan mencapai tahap sifar akhir tahun tersebut (2010) hasil program berterusan yang dilakukan oleh kerajaan pusat. Laporan tersebut boleh dirujuk di sini (http://mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_berita&file=/2010/11/27/mstar_berita/20101127164559).

4. Adakah pada akhir tahun 2010, hanya 50 ketua isi keluarga miskin tegar tiba-tiba berubah menjadi 43,000 orang miskin tegar di seluruh negeri Kelantan pada hari ini? Adakah sudah berlaku satu perkara ajaib yang menjadikan miskin tegar di Kelantan berubah meningkat dengan cara mendadak atau satu kegagalan Awang Adek untuk mengira dengan baik? Atau sememangnya Awang Adek sengaja mengeluarkan angka tersebut untuk memberikan persepsi yang tidak baik terhadap negeri Kelantan sekalipun sedar angka itu satu pembohongan?

5. DPPNK ingin berpesan kepada Awang Adek agar dapat menunjukkan prestasi yang baik di dalam membuat kenyataan memandangkan pilihanraya umum semakin hampir. Jika tidak, dikhuatiri peluang Awang Adek untuk dinobatkan sekali lagi sebagai bakal Menteri Besar Kelantan tidak kesampaian.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 9 Oktober 2011

No comments

Powered by Blogger.