Universiti tempatan tidak pernah sertai ranking Times

KUALA LUMPUR 10 Okt – Universiti di negara ini tidak pernah menyertai sistem ranking yang dikelolakan The Times Higher Education World University Ranking (Times).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana universiti tempatan yang diangkat menjadi universiti penyelidikan pada 2007, belum matang untuk memenuhi standard 62.5 peratus penyelidikan yang ditetapkan Times.

“Kita tahu kalau kita masukkan juga kita tidak akan masuk dalam ranking 400 sebab kita masih baru dan perlu tunggu sehingga penyelidikan itu benar-benar matang,” katanya pada sidang media selepas Anugerah Akademik Negara 2009/2010, di sini hari ini.

Mohamed Khaled mengulas mengenai tiada universiti tempatan tersenarai antara 400 universiti terbaik dunia, yang dikeluarkan Times pada Jumaat lepas yang menyenaraikan California Institute of Technology di tempat pertama diikuti Universiti Harvard dan Universiti Oxford.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, institusi tempatan memerlukan masa antara enam hingga tujuh tahun sebelum menimbang kemungkinan menyertai ranking itu. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.