Adnan tak tanding Ketua Pemuda "takut menang"

KUANTAN 10 Sept. — Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini kerana bimbang tidak dapat memikul tanggungjawab jika menang.

Katanya beliau membuat keputusan itu selepas menimbang dengan teliti sejak dua minggu lepas.

“Saya dapati kalah itu ada kemungkinan, menang tidak mustahil, saya ambil kesimpulan saya takut saya menang.

“Jadi kalau saya menang nanti saya bimbang tak terpikul tanggungjawab kerana dari segi masa...(tetapi) tenaga, idea dan usia semua masih kuat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Adnan pernah berkata beliau sedang memikirkan dengan serius untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda apabila menerima permintaan daripada anggota pergerakan itu.

Katanya beliau bimbang tidak mampu menguruskan hal ehwal negeri Pahang dan kerja politik sebagai Ketua Pemuda secara serentak.

Beliau berpendapat hanya dua calon iaitu Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir patut bertanding merebut jawatan itu.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang menyambut baik kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali ke pangkuan Umno.

“Beliau bukan buat salah besar, beliau sendiri keluar (parti) jadi kalau beliau masuk balik, lagilah elok,” katanya.

Katanya sebarang teguran dan pandangan daripada Dr Mahathir dalam menguatkan UMNO juga seelok-eloknya dilakukan mengikut saluran parti itu.

— BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.