Pemuda PAS tolak campur tangan tentera...

Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) menolak sebarang campur tangan tentera dalam menangani isu perkauman di negara ini.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, DPP memandang serius kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal bahawa isu perkauman yang dibangkitkan sekarang boleh mencetuskan huru-hara.

"DPP tidak menafikan bahawa isu ini boleh membawa kepada pergolakan politik bagi sesebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia.

"Tetapi DPP menolak sebarang campur tangan tentera dalam soal ini," kata Salahuddin, yang juga ahli Parlimen Kubang Krian, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenyataan Abdul Aziz itu jelas menunjukkan bahawa pihak tentera sedang memantau keadaan yang ada.

Namun, tambahnya, ia tidak bermakna tentera patut terlibat sama secara terbuka.

Salahuddin berkata, pergolakan yang sedang berlaku sekarang bukan melibatkan pemimpin atau penyokong Pakatan Rakyat.

Katanya, penyokong Pakatan telah merobohkan tembok perkauman sehingga orang Cina dan India tidak lagi kekok menyokong PAS yang selama ini dilabel sebagai ekstremis Islam.

Manakala orang Melayu pula, katanya, sedia menerima DAP walaupun mereka sering dimomokkan sebagai chauvinis Cina.

Sebaliknya, Salahuddin mendakwa, Umno yang terdesak, telah membangkitkan semula isu perkauman sehingga ada yang mendesak parti komponen BN yang lain keluar daripada gabungan tersebut.

Parti-parti lain pula, katanya, mengambil kesempatan untuk menyalahkan Umno dan ini yang menyebabkan krisis perkauman di negara ini.

Oleh itu, kata Salahuddin, tentera tidak perlu mencampuri pergolakan perkauman itu, bagi mengelak diperalatkan untuk survival politik sempit Umno.

Dalam keadaan seumpama itu, katanya, pihak tentera sepatutnya berkecuali.

Katanya, DPP berharap demokrasi dapat dipertahankan "kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di Thailand, berulang di sini".

No comments

Powered by Blogger.