Ronaldo jadi sasaran pemilik baru Man City


JADI SASARAN: Al-Fahim sanggup membayar AS$210 juta (RM693 juta) untuk mendapatkan khidmat Ronaldo.

LONDON: Pemilik baru Manchester City berbangsa Arab berkata mereka sanggup membayar AS$210 juta (RM693 juta) untuk mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo dari pasukan tetangga, Manchester United.

“Ronaldo pernah menyuarakan mahu bermain untuk kelab terbesar dunia dan kami akan menunggu sehingga Januari ini sama ada dia serius untuk berpindah,” menurut akhbar Guardian yang menyebut kenyataan Dr Sulaiman Al-Fahim, pemilik baru City dari Kumpulan Abu Dhabi United di laman webnya.

Menurut laporan, semalam Al-Fahim mahu memburu bintang bola sepak lain, termasuk Thierry Henry dari Barcelona dan penyerang berbisa Valencia, David Villa dalam usaha mengubah wajah City kepada gergasi baru bola sepak. Al-Fahim berkata dia mahu membina ‘pasukan impian’ yang boleh beraksi di Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga tahun berikut.

City sudah pun mengejutkan pencabar di liga Inggeris, Chelsea apabila berjaya menambat bintang Real Madrid, Robinho dengan mencatat rekod British, 32.5 juta pound (RM208 juta) pada hari penutup jendela perpindahan pemain, Isnin lalu.

Kini, Ronaldo yang dikaitkan ke Real musim panas ini dilihat sebagai prospek utama berpindah dari Old Trafford ke kelab jiran berkenaan. - AF

No comments

Powered by Blogger.