Pakar MMC tidak tahu siapa pentadbir malaysia-today.net

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Hrkh) - Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengarah Jabatan Keselamatan, Amanah dan Pentadbiran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MMC), Harme Mohamed mengakui bahawa beliau tidak tahu siapakah pentadbir malaysia-today.net
Iklan




Bernama melaporkan beliau memberitahu perkara itu dalam perbicaraan Raja Petra Raja Kamarudin di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Harme merupakan saksi pertama dipanggil untuk memberikan keterangan.

Raja Petra, 58, dituduh dituduh menerbitkan artikel memfitnah bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" yang diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April lalu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Semasa diperiksa balas oleh peguam J. Chandra yang mewakili tertuduh, Harme berkata beliau tidak mempunyai keterangan lain untuk membuktikan yang Raja Petra ialah orang yang memuatkan artikel itu selain daripada apa yang dinyatakan dalam laporan itu.

Beliau bersetuju yang laporan itu tidak menyatakan sebarang permulaan/akhiran tarikh 25 April di mana artikel memfitnah itu didakwa dimuatkan.

Harme juga bersetuju dengan cadangan Chandra bahawa perbuatan memuatkan artikel itu (melalui laman web) boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada "nama pengguna" dan "kata laluan" pemilik laman web itu.

Bagaimanapun, beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Raja Petra yang memuatkan artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" yang diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April.

Saksi itu berkata beliau membuat rumusan itu berdasarkan Laporan Pemeriksaan Oleh Unit Siasatan Forensik Komputer MMC yang jelas menunjukkan nama Raja Petra ditulis dalam artikel itu sebagai penulis dan nama domain ialah malaysia-today.net.

"Berdasarkan dokumen (laporan itu) yang tertera di barisan kedua di atas dokumen itu, nama domain yang dinyatakan ialah malaysia-today.net," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor.

Kepada soalan Roslan sama ada beliau tahu siapakah pentadbir nama domain laman web itu, Harme berkata: "Berdasarkan dokumen itu, saya tidak tahu".

Roslan juga memberitahu mahkamah yang pendakwaan mempunyai enam atau tujuh lagi saksi yang akan memberikan keterangan dan dua saksi awam akan dipanggil untuk memberikan keterangan.

Raja Petra yang memakai kemeja lengan pendek biru, seluar jeans biru dan selipar berwarna biru, kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob disambung esok.

Ketika menafikan kandungan artikel "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" itu, setiausaha akhbar Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad pernah menafikan bahawa Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ada kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri pernah menyokong permohonan visa wanita itu dan rekod imigresen wanita itu telah sengaja dihapuskan.

Artikel tersebut dimulakan dengan isu menuntut keadilan buat Altantuya sewaktu kunjungan bapa mangsa bunuh itu Shaariibuu Setev ke Kuala Lumpur bagi mendesak perbicaraan kes bunuh anaknya dijalankan dengan adil.

Selain Abdul Razak Baginda, seorang penganalisis politik yang dikaitkan dengan Najib, dua anggota polis pasukan berprofil tinggi Unit Tindakan Khas (UTK) di Bukit Aman turut dituduh dalam kes tersebut mulai Jun tahun lepas.

Cif Inspektor Azilah Hadri, dan Koperal Sirul Azhar Umar didakwa membunuh Altantuya, di lokasi mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 19-20 Oktober 2006.

Abdul Razak pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar sehari sebelum pembunuhan itu.

Pembunuhan Altantuya mula menggegarkan negara apabila penganalisis politik itu dan beberapa anggota polis, termasuk Azilah dan Sirul Azhar, ditahan polis pada 7 November 2006._

No comments

Powered by Blogger.