P036 Kuala Terengganu talkinkan jenazah UMNO


 Selepas Barisan Nasional diaibkan dengan begitu teruk di Permatang Pauh, kali ini gendang pertempuran menjelma pula di P036 Kuala Terengganu, Jika di Permatang Pauh persaingan merebut kerusi antara PKR dan BN telah menyaksikan calonnya Ketua Umum PKR Dato Seri Anwar Ibrahim telah mendapat kemenangan majoriti yang lebih besar daripada sebelumnya, kali ini persaingan siapa yang paling hebat adalah antara BN dan PAS iaitu rakan kongsi PKR.

Setiap kali musim pilihanraya samada PRU atau PRK, pengundi akan digula-gulakan dengan kebendaan dan wang ringgit, projek mega yang datang mencurah-curah bagaikan hujan dari langit, dimomok-momokkan dengan isu-isu sensitif berbentuk perkauman dan keagamaan dan yang paling sadis minda rakyat diisi saban hari,

saban malam dengan berita kebaikan kerajaan BN seolah-olah tiada kerajaan yang lebih baik selain daripada BN dan ianya akan didendangkan sepanjang musim pilihanraya dan dajalnya adalah media cetak UMNO yang bernama Berita Hairan, Utusan Meloya dan juga TV 3 suku.

Tanpa mengambil pengalaman daripada pilihanraya umum ke12 disusuli dengan kekalahan teruk di Permatang Pauh, BN ternyata masih terlena, terleka dan masih belum menyedari strategi memburuk-burukan parti lawan dengan isu-isu yang tidak munasabah seperti liwat dan hudud sememangnya gagal memikat hati rakyat. Di alaf millennium ini, pengundi bukan lagi boleh diperbodohkan sebagaimana pilihanraya diera tahun 1970an dan 1980an. Pengundi sekarang mempunyai latar pendidikan yang hebat dan celik IT. Pengundi bukan lagi dibekalkan dengan maklumat yang sehala tetapi pengundi sekarang sudah peka dan pandai mencari maklumat yang betul dan sahih.

Setiap kali PRK berlangsung, isu pembangunan material akan diagung-agungkan oleh BN malah yang lebih parah ada unsur-unsur ugutan, hal ini dibuktikan dengan kenyataan MB Terengganu, Ahmad Said bahawa pembangunan di kawasan Kuala Terengganu tidak akan dilakukan sekiranya calon BN Wan Ahmad Farid tewas pada 17 Januari ini. Kenyataan tersebut melambangkan kebodohan dan kedangkalan akal seorang pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri Terengganu. Ahmad Said membayangkan seolah-olah wang peruntukkan tersebut kepunyaan UMNO, beliau telah gagal bertindak sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan meletakkan diri beliau sebagai pemimpin semua rakyat Terengganu. Beliau seharusnya menyedari wang peruntukkan tersebut datangnya daripada hasil cukai yang telah dibayar bukan sahaja oleh orang UMNO tetapi setiap rakyat Terengganu yang menganuti pelbagai fahaman politik.

Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu amat unik sebenarnya, Dengan 3 DUN dikuasai PAS, dan 1 DUN dimiliki BN, sepatutnya P036 juga milik PAS, namun pengundi Kuala Terengganu pada PRU12 telah menyatakan suara mereka bahawa calon ‘oversea’ belum dapat diterima secara total lagi, dan Mat Sabu telah menjadi mangsa terhadap penolakan tersebut.

Biarpun pada dasarnya menampakkan seolah-olah PAS menghadapi masalah dalam pemilihan calon dan ianya diumumkan lebih lewat daripada pengumuman calon BN, tetapi jawapan PAS terhadap kelewatan tersebut yang menyatakan betapa sukarnya membuat pemilihan calon lantaran semuanya berkelayakan, tiada masalah peribadi dan tidak mempunyai rekod rasuah, menutup suara-suara sumbang daripada kem lawan. Apatah lagi pengumuman tersebut dibuat secara gah dan megah di Stadium Negeri. Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir pula secara terbuka menyatakan pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN sebagai satu pilihan yang amat buruk.

Satu isu yang cuba diputar belitkan pihak BN adalah mengenai gambar calon BN sedang berkaraoke dengan seorang wanita yang kemudian dikenali sebagai anak saudara kepada Wan Ahmad Farid, juga seolah-olah menjadi senjata makan tuan. Kalau betullah ianya anak saudara Wan Ahmad Farid bagaimana gambar yang sepatutnya menjadi koleksi peribadi boleh tersiar dan menjadi tatapan umum. Kesimpulannya terdapat unsur-unsur sabotaj dari dalam bagi menjatuhkan Wan Ahmad Farid.

Menghadapi PAS melalui PRK P036 ini, ternyata BN ketandusan idea-idea baru, jentera-jentera BN sebenarnya sudah lama terkulai layu, pertembungan kuasa antara pimpinan Pergerakan Wanita UMNO diantara Makcik Pidah dengan Kak Jat bukan sesuatu yang asing dan boleh disembunyikan, keduanya mempunyai agenda peribadi di Kuala Terengganu, menonjolkan diri sebagai pemimpin wanita masa depan adalah lebih penting daripada menentukan kemenangan calun BN, ditambah pula dengan perasaan terpinggir oleh Puteri UMNO apabila Ketuanya tidak lagi diperlukan sebagai seorang senator bagi penggal seterusnya.

PRK P036 sebenarnya persediaan UMNO untuk ditalkinkan, TPM Najib sendiri mengakui kita tidak boleh tewas lagi, bermakna seandainya calon UMNO mengalami kekalahan di Kuala Terengganu, persediaan untuk ditalkin mayat UMNO keperatusannya amat tinggi, dan kekalahan tersebut nanti menjadi kayu pengukur penerimaan masyarakat terhadap perubahan kepimpinan dalam apa yang dinamakan peralihan terancang pada Mac nanti.

Satu kejutan telah berlaku semasa hari penamaan calon dimana wakil Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad, telah menarik diri pada saat akhir dan secara terbuka telah menyatakan sokongan akan diberikan kepada calon PAS. Kehadiran lebih 40,000 orang penyokong Pakatan Rakyat berbanding hanya 10,000 orang dari kem BN semasa hari penamaan calon membayangkan hari-hari suram akan dilalui oleh Barisan Nasional sepanjang tempoh berkempen.

Kepada pengundi-pengundi di Parlimen Kuala Terengganu, paluan gendang sudah berbunyi, berperanglah di medan demokrasi dengan pensil sebagai mata pedang 17 Januari ini dan gunakanlah kebijaksanaan melalui akal fikiran yang dianugerahkan tuhan bagi memilih pemimpin yang benar-benar berjuang bukan saja untuk negara dan masyarakat tetapi dapat mengangkat darjat agama dan meletakkan darjat tersebut ditempat yang sepatutnya, selamat mengundi.

No comments

Powered by Blogger.