tolong ambik perhatian wahai pemimpin kerajaan PR!

Oleh: Huzaifah

Adakah anda pelik dengan sikap double standard Umno? Sikap suka membuli parti lawan, menganaktirikan golongan tertentu dan memperkayakan kawan-kawan?

Hakikatnya, penyakit bawaan Umno ini sudah berakar umbi dalam organisasi di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka. Tempoh 50 tahun penuh berkuasa, membolehkan mereka menyemai pemikiran konservatif yang sedemikian jelik ke dalam pemikiran rakyat – khususnya para pendokong Umno.

Apabila Kelantan diambil alih oleh PAS pada tahun 1990, kita orang luar Kelantan hanya mendengar cerita betapa Nik Aziz sendiri menghadapi sedikit-sebanyak kesukaran di sana. Mujurnya, keperibadian dan kewibawaan Nik Aziz begitu menyerlah. Ia adalah senjata ampuh yang merentasi sempadan pemikiran.

Apabila empat lagi negeri lain diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada Mac 2008, maka pengalaman yang pernah dilalui oleh Kelantan wajar diambil ingat. Bukan mudah mengubah sesuatu yang sudah bersebati dan mendarah daging. Ya…kebusukan pemikiran dan kejelikan perangai Umno yang sudah menjadi sebahagian daripada pemikiran dan sifat para pemuka dan tokoh-tokoh di negeri-negeri berkenaan. Ia masih ada dan sentiasa mempamerkan wajahnya sedikit demi sedikit hingga saat ini.

Justeru itulah, apabila PR berjaya sahaja membentuk kerajaan, maka pelbagai pihak tampil memberikan peringatan. Kerajaan PR akan berhadapan dengan pelbagai jenis anasir yang mampu merencatkan idea ‘negeri yang telus, bersih dan berkebajikan’ idaman PR.

Antara anasir itu ialah:

  1. Warisan pentadbiran lama yang totok Umno. Mereka ini terang-terangan adalah pendokong Umno yang tegar. Apabila Umno kalah, mereka awalnya bimbang ‘dicantas’ dan mereka sebenarnya telah bersedia untuk ‘dicantas.’ Apabila mereka kekal dalam jawatan, maka ketaatan mereka sebenarnya bukan kepada PR tetapi Umno. Bagi saya, mereka ini perlu diasingkan secara ‘terhormat’ memandangkan keberadaan mereka tidak akan menguntungkan PR; sebaliknya mengundang pelbagai masalah pula.

  1. Musuh dalam selimut. Golongan ini bersembunyi pada zahirnya, namun sentiasa bersedia memberikan serangan kepada kerajaan PR. Mereka ini tidak menyokong PR, namun terpaksa berpura-pura menyokong PR. Apabila di belakang PR, mereka sebenarnya menyokong Umno. Mereka ini tidak yakin PR akan menang lagi dalam PRU akan datang. Lebih jelik lagi, mereka ini boleh diibarat seperti golongan munafik. Jika diberikan pilihan, saya suka meletakkan golongan ini sebagai generasi yang wajar ‘dilupuskan’ sedikit demi sedikit. Mereka ini jauh lebih berbahaya berbanding golongan ‘1′ di atas.

  1. Golongan oppotunist yang mengambil kesempatan. Golongan ini sentiasa melihat peluang yang ada. Semasa Umno / BN berkuasa, mereka memakai ‘lencana’ BN. Berbicara suara BN. Berakhlak seperti BN. Bila PR berkuasa, mereka jadi lebih PR daripada penggerak PR sendiri. Mereka akan menempatkan diri mereka ke sudut-sudut tertentu. Akhirnya, diri mereka lebih menonjol dan menenggelamkan orang-orang PR sendiri. Sebenarnya, ‘kebaikan’ mereka ada sebab. Mereka mahu ‘merebut’ segala peluang yang ada sebelum terlambat. PR kena berhati-hati kerana mereka ini tidak setia. Mereka adalah ‘lalang’ bahkan selalunya mereka menyebabkan golongan ‘tulen’ PR tersisih. Dengan lunak bahasa dan manis wajah, mereka mudah memperdaya.

Ya, cukuplah rasanya saya memaparkan tiga jenis anasir utama yang kini terus memainkan wayang mereka di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR. Tidak hairanlah andai kita terdengar, wujudnya usaha mensabotaj kerajaan PR; mengenepikan arahan atasan secara ‘diam-diam’, menggunakan platform tertentu bagi menidakkan kuasa kerajaan negeri PR dan sebagainya lagi.

Namun, apa yang lebih pelik dan mendukacitakan ialah, jika pemuka-pemuka pilihan rakyat di negeri-negeri PR tidak mengambil serius ancaman ini. Bahkan, masih ada yang bersikap ‘lunak’, memberi muka, memberi peluang, toleransi, bersabar dan sebagainya.

Keadaan ini jelas kelihatan di negeri PR, Perak misalnya, Selangor misalnya bahkan Kedah misalnya.

Contoh 1: Selangor – menggunakan sultan bagi menidakkan kuasa kerajaan PR. Terkini lantikan ahli-ahli MAIS langsung tiada perubahan. Adakah ini citra yang diidam-idamkan selama ini oleh penyokong dan pendokong PR? Begitu juga aspek pemberian tender di bawah PBT, masih memihak kepada orang-orang Umno kerana ‘tukang agihnya’ adalah daripada Umno juga.

Contoh 2: Perak – isu tanah, pemecatan Pengarah JAIP dlln, istana dibabitkan. Akibatnya, MB Nizar dipandang serong, dipandang tidak berkredibeliti dan boneka kaum Cina. Usaha MB Nizar membuat perubahan tidak direstui dan ‘orang yang bermasalah’ kekal di tempatnya. Lebih sukar, kerana agensi kerajaan negeri sendiri seakan-akan menjadi ‘tali barut’ bagi membantu menjatuhkan kerajaan negeri PR. Isu rasuah kepada dua exco misalnya…

Contoh 3: Kedah – timbul desas-desus ada usaha sabotaj oleh PBT di Kedah, sehingga Sdr YB Mahfuz Omar sendiri menegur. Isu sampah misalnya, tidak diuruskan dengan baik. Isu ada segelintir ahli-ahli PR yang tidak berpeluang mendapat tender kerajaan negeri dan sebagainya.

Contoh 4: Pulau Pinang – Isu pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang enggan meletakkan jawatan hingga kini.

Kesimpulannya, tempoh peralihan kuasa lebih 100 hari sudah lama berlalu. Kini kita di awal tahun baru, baik 2009 mahu pun 1430. Maka, masa makin suntuk. Saya yakin, para pendokong tegar dan penyokong tegar PR masih tidak ‘berpuas-hati’ dengan kaedah kepimpinan negeri PR (maksud saya kerajaan negeri) menangani anasir-anasir ini.

Jangan dibiarkan anasir-anasir ini terus berada dalam kondisi yang aman, selamat dan terus ’selesa’ menyerang PR. Jika tidak, ia bukan sahaja melemahkan sendi-sendi pertahanan Kerajaan PR; malah boleh menghilangkan keyakinan para pengundi ‘atas pagar’. Ingat, peluang datang sekali…ia belum tentu berulang lagi!

Wallahua’lam.

No comments

Powered by Blogger.