Buah Tangan UMNO Untuk Pakatan Rakyat - malaysiakini
Buah Tangan UMNO Untuk Pakatan Rakyat
Dalam keadaan lebih daripada separuh sedar, biasanya musuh akan mengakui segala kesilapan, kesalahan, kekurangan dan kecacatan, iaitu bila berdepan dengan keadaan yang benar – benar kritikal, terdesak dan terancam. Kebiasaannya masa itu akal dah jadi separuh waras, atau tidak waras.
Tidak kira sesiapa pun juga, ahli politik, ahli perniagaan, kakitangan kerajaan, pelajar dan sebagainya, selagi nama manusia, ada suatu saat segala kecacatan, kesalahan, kesilapan dan kekurangan tadi akan diceritakan tanpa perlu kita mendesak atau memaksa mereka mendedahkannya.
Begitu Juga Dengan Parti Umno Ni.
Dalam keadaan hampir semua peringkat kepimpinan, dari orang no 1, 2, 3 dan seterusnya percaya iaitu umno perlu berubah, tetapi itu hanya slogan sahaja, kerana tindak tanduk mereka ini tidak membayangkan kesediaan untuk berubah, rakyat masih melihat ianya tidakk berubah . Contohnya kejadian yang berlaku di Perak sebagai buktinya.
Ada lagi satu golongan dalam parti ini, iaitu ’think tank’ mereka juga menyeru supaya seluruh peringkat dalam parti umno mesti berubah, dari orang no 1 hingga ahli – ahli biasa di peringkat cawangan. Golongan ini yang terpaksa memerahkan otak siang malam, bahkan 24 jam sehari memikirkan kaedah, strategi dan pendekatan yang perlu dibuat oleh kepimpinan, guna bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap mereka.
Risau benar mereka ini dengan ketidakpedulian pemimpin – pemimpin atasan, khuatir andainya PRU13 nanti adalah kemuncak parti ini ditolak oleh rakyat dari semua kaum Melayu, Cina, india, Iban, Kadazan dan lain – lain.
Bimbang mereka ini ada fakta dan justifikasinya. Memang ada data lengkap, bukan hari ini tapi sejak dari dulu lagi, bahkan ianya amat ketara dalam PRU12 lalu, diikuti PRK P44 dan yang terbaru dalam PRK P36 Kuala Terengganu. Ianya bakal menjadi kenyataan dalam PRK P59 Bukit Gantang dan N 25 Bukit Selambau nanti, dan juga mungkin nanti dalam N 37 Bukit Lanjan, dan juga ura -ura di P 22 Pasir Mas.
Elok dibaca isi hati penulis ini. Banyak kebenaran, data, fakta dan justifikasinya. Mana yang baik elok sangat dijadikan panduan, mana yang buruk hendaklah dibuang saja.
’Virus’ Saluran 4 Dan 5
SENARIO yang berlaku ketika proses pengiraan undi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu agak menarik untuk direnung. Ini kerana ketika proses pengiraan bermula, Barisan Nasional (BN) dilihat mendahului kerana majoriti undi saluran 1,2 dan 3 menyebelahi parti itu. Bagaimanapun situasi berubah apabila kotak undi saluran 4 dan 5 dikira, BN tewas satu demi satu sebelum diisytiharkan kalah.
Namun begitu kegagalan BN menguasai saluran 4 dan 5 yang dianggap suara generasi muda bukanlah suatu kejutan, sebaliknya ia sememangnya sudah dijangkakan. Malah itu merupakan kali kedua BN tewas dalam pilihan raya kecil akibat saluran berkenaan, sebelumnya BN kecundang di Permatang Pauh. Kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen serta kehilangan kuasa di Kedah, Perak dan Selangor juga dikaitkan dengan saluran tersebut.
Malah di Kelantan, pengundi muda dikatakan sama sekali tidak menyebelahi BN sehingga memungkinkan Pas terus berkuasa di negeri tersebut.
Generasi muda yang menguasai undi di saluran 4 dan 5 mempunyai pemikiran berbeza. Perkembangan teknologi maklumat yang berkembang pesat telah membolehkan mereka bukan sahaja mendapat sebarang perkembangan dengan cepat malah boleh diracuni fikiran mereka oleh permainan kotor pembangkang.
Persepsi yang paling mencabar untuk dihapuskan oleh BN di kalangan generasi muda ialah kalau BN cakap itu propaganda dan kalau pembangkang cakap itu kebenaran.
Mengulas isu saluran 4 dan 5 ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, generasi mudah tidak mahu mendekati BN kerana mereka melihat parti itu termasuklah UMNO seperti tidak mewakili aspirasi mereka sebaliknya hanya untuk kepentingan orang-orang yang lebih dewasa khususnya golongan elit.
''Kepada mereka, UMNO sudah menjadi terlalu elitis, malah golongan muda dalam BN dan UMNO juga sangat elitis dengan gaya hidup 'super newah' dan umpama selebriti," katanya ketika dihubungi.
Kenyataan Dr.Mohamed Mustafa ini bukanlah perkara baru tetapi inilah persepsi rakyat termasuk generasi muda kepada BN terutamanya UMNO.
Dalam tinjauan penulis di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, baru-baru ini, persepsi ini juga wujud di kalangan penduduk.
Mereka mengaitkan UMNO dengan gaya hidup mewah, mereka muak dengan gelagat sesetengah pemimpin Pemuda yang dilihat terlalu elit apabila masuk ke kampung-kampung.
Lebih memburukkan lagi keadaan melalui propaganda yang dilakukan oleh pembangkang tanpa mahu mengkaji sama ada sesuatu dakwaan itu benar atau tidak, pemimpin-pemimpin BN terutamanya UMNO sering dikaitkan dengan rasuah, skandal dan sebagainya.
Mungkin ia adalah persepsi tetapi akibat persepsilah BN hampir kecundang dalam pilihan raya umum lalu.
Semua ini tidak menguntungkan BN, persepsi buruk masih menebal di kalangan rakyat terhadap parti itu terutamanya generasi muda yang menguasai saluran 4 dan 5 masih menebal.
BN akan terus menghadapi masalah jika persepsi ini tidak ditangani dengan betul. Keadaan menjadi semakin mencabar apabila tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh pemimpin-pemimpin muda dalam BN untuk mendekati pengundi-pengundi muda.
''Pemimpin-pemimpin atas BN dan UMNO sudah lama disenggaged dengan orang muda di institut pengajian tinggi dan kolej-kolej, tiada dialog dua hala dan interaksi dengan golongan muda," kata Dr. Mohamed Mustafa.
Bagi parti tersebut, masalah lebih ketara ialah generasi muda tidak melihat mana-mana pemimpin parti itu yang sesuai atau setaraf dengan ketokohan yang ada kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jika dulu walaupun mereka tidak menyukai BN dan UMNO tetapi berikutan ketokohan yang ada kepada Dr. Mahathir mereka sedia menyebelahi BN begitu juga kaum bukan Melayu.
Namun sekarang suasana sudah berbeza. Walaupun apa yang dikatakan oleh generasi muda mengenai barisan kepimpinan BN dan UMNO hanyalah persepsi tetapi tafsiran seumpama itu tidak harus dibiarkan.
''Kita terpaksa akui bahawa kepetahan bercakap yang ada kepada pembangkang tidak ada kepada sebahagian besar pemimpin BN, walaupun apa yang dikatakan oleh pembangkang hanyalah retorik dan hipokrit tetapi macam mana hendak kita hendak yakinkan rakyat, ini soalnya," kata seorang pemimpin Pemuda UMNO bertaraf Ahli Parlimen ketika dihubungi.
Sebagai contohnya, isu lompat parti, ia hakikatnya dipelopori oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi apabila ada ahli pembangkang beralih arah menyokong BN, pembangkang berjaya meracuni pemikiran rakyat untuk mempercayai ia perbuatan tidak bermoral tetapi semasa mereka menguar-uarkan 'mimpi 16 September' bagi menumbangkan kerajaan BN tidak pula soal ini ditimbulkan?
Begitu juga soal moral, apabila pemimpin BN didapati melakukan perbuatan yang bertentangan dengan moral, mereka menyerang habis-habisan sehinggakan rakyat melihat pemimpin BN terlalu jijik tetapi apabila ia dikaitkan dengan pembangkang, ia akan dianggap satu fitnah dan konspirasi politik paling jahat dan keji.
Tetapi BN tidak mampu menangani ini semua, generasi muda amat dekat dengan internet, membaca blog setiap hari adalah rutin mereka tetapi BN tidak mempunyai blog yang benar-benar berwibawa menangkis pembangkang.
Sebaliknya pembangkang bukan sahaja mempunyai ribuan blog yang menyokong mereka, malah 'memiliki' media on line yang menyebelahi mereka.
Kita akui bahawa BN cuba melawan melalui internet tetapi ia tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh, kalau pun wujud blog tersebut ia ibarat tempat melepaskan geram sahaja, lebih malang lagi ada sesetengah blog yang diketahui diasaskan oleh pemimpin UMNO bertindak 'membelasah' pemimpin UMNO sendiri.
Kesudahannya rakyat terutamanya generasi muda menjadi keliru dan membolehkan mereka menjadi yakin bahawa apa yang diperkatakan oleh pembangkang terhadap sesetengah pemimpin UMNO adalah betul.
Berdasarkan apa yang diperkatakan, ia jelas menunjukkan bahawa cabaran BN untuk menarik generasi muda mengundi mereka amat getir.
Saluran 4 dan 5 tidak harus menjadi seolah-olah 'satu virus' yang merosakkan keseluruhan sokongan yang diperolehi melalui saluran 1,2 dan 3.
BN tidak harus leka tentang ancaman ini kerana dalam pertemuan penulis dengan beberapa pemimpin kanan UMNO mereka pastinya akan mengeluh apabila ditanya apa peluang BN untuk menang di saluran 4 dan 5.
Ini satu masalah yang BN perlu tangani segera jika tidak mahu BN kecundang dalam pilihan raya akan datang, ikhlaslah mengakui bahawa semua sayap BN dan UMNO buat masa ini dianggap gagal meraih sokongan generasi muda tetapi belum terlambat untuk memperbaiki keadaan.
24.02.2009
No comments
Post a Comment