Dato' Seri Nizar Jamaluddin akan cabar kesahihan perlatinan Dr. Zamry Abdul Kader sebagai Menteri Besar yang baru di mahkamah



Muqqadimah: Akibat tiga Adun Pakatan Rakyat melompat parti, majoriti mudah hilang dan Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan menabalkan Menteri Besar baru bagi pihak BN. Tuanku enggan membubarkan Dun dan mengarahkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin melatakkan jawatan Menteri Besar serta-merta. Sekaligus, ia menafikan hak-hak kerajaan asal mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Namun, Nizar enggan berbuat demikian lalu disitiharkan oleh BN sebagai derhaka terhadap Sultan. Apa yang jelas, kemelut ini mengundang "Krisis Perlembagaan" di Perak hingga kini mewujudkan dua Menteri Besar pada satu masa. Bagi menjejaki isu ini, AHMAD LUTFI OTHMAN dan TARMIZI MOHD JAM serta MUNIZAM ZAMRI memburu Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat yang sarat kontroversi ini di kediaman rasminya di Ipoh, 8 Februari lalu.

Apakah ada tindakan lain Dato' Seri untuk menghalang kemaraan Menteri Besar BN yang baru, Dato' Dr Zamry Abdul Kader?

Saya akan mengambil pengistiharan mahkamah pada pagi Selasa ini (10 Februari) untuk mengisytiharkan saya dan Pakatan Rakyat masih kerajaan dan Menteri Besar yang sah. Kita akan fail semua itu. Sepatutnya Tuanku tunggu. Sebabnya dalam Perlembagaan Negeri Perak sebut jelas, Tuanku Sultan apabila dipohon oleh seorang Menteri Besar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, baginda hanya boleh 'with hold decision'. Baginda tidak boleh enggan.

Apa yang menyokong hujah Dato' Seri tentang kenyataan itu?

Sila rujuk pada Article 16(6) dan Article 16(7) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. 'With hold' tetapi tidak boleh tolak. Jadi anehnya dan memalukan dibawah naungan negeri yang orangnya dihormati sebagai bekas Ketua Hakim Negara. Ini adalah sesuatu yang Allah jadikan yang kita belum tahu hikmahnya lagi.
Kita tidak tahu analisa yang Allah nak bagi. Tetapi itulah yang dilihat. Timbul pertanyaan kenapa ada 'mass uprising' sekarang ini? Sebab orang banyak tahu mengenai Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Orang tahu mengenai kebenaran dan keadilan. Ini adalah dalaman rakyat sendiri.
Berkenaan majlis angkat sumpah. Apabila berlaku suasana sedemikian, saya sendiri cuba menghubungi orang-orang tertentu untuk mendapatkan penjelasan. Dan akhirnya kita bercadang untuk bertemu dengan Tuanku. Dan semalam (7 Februari) saya hantar satu surat atas kepala surat Menteri Besar juga bertarikh 6 Februari.

Dato' Seri nak mengadap Tuanku Sultan lagi. Siapa bersama Dato' Seri? Apa tujuannya kali ini?

Saya hantar surat ke istana mohon untuk saya, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Tuan Guru Abdul Hadi untuk bertemu Tuanku dan Raja Muda. Mohon hendak melihat kes Kuala Kangsar itu tidak dibabitkan dengan pimpinan. Nak terangkan balik apakah pembubaran Dewan Undangan Negeri itu boleh diteruskan. Jadi ini suatu masalah yang besar kerana Tuanku sudah perkenan dan sudah tanda tangan watikah (angkat sumpah MB).

Maknanya Perak ada dua Menteri Besar dalam kemelut yang sedang berlaku sekarang...

Ya. Watikah pertama (kepada saya) belum dibatalkan. Bayangkan apa yang terjadi. Tidak ada Presiden dan sebelum ini apa yang berlaku di Sarawak tidak sama dengan di sini. Sebab di sini ada 28 kerusi Dun Pakatan Rakyat, 28 BN dan tiga Adun berada di tengah-tengah. Jika dibandingkan kes ini tidak sama.
Tiga Adun ini adalah bebas. Dan apabila kedudukan mereka dipersoal SPR tentang surat perletakan mereka itu diragui, maka kedudukan mereka sebagai Adun itu juga diragui. Dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ada menyatakan sekiranya ada kebimbangan, 'doubtful' dalam mana-mana kedudukan Adun hendaklah dibawa balik ke Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri yang akan memutuskan dia ini sah sebagai Adun atau tidak. Perkara ini tidak diikuti.

Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh dakwa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih sah...

Itulah kemelut yang berlaku. Dan kita nyatakan bahawa hari ini ada juga pemimpin Umno mengatakan ya, Nizar adalah Menteri Besar yang sah. Ada yang kata kerajaan BN yang dibentuk itu tidak bermaruah. Bagaimana boleh ambil orang yang dituduh rasuah seks, jadi penyokongnya? Apa ertinya kerajaan?
Sebab itu Dr Mahathir marah. Sekarang terdapat usaha untuk mencemarkan nama saya. Sehinggakan ada SMS mengatakan tidak ikut perintah Tuan Guru Nik Abdul Aziz minta letak jawatan dan minta bubar DUN. Bagaimana Menteri Besar hendak bubar. Bubar adalah terletak pada raja bukan Menteri Besar. Digembar-gemburkan dalam TV kononnya Nizar telah bubar DUN. Tolong buang persepsi ini.
Hanya orang tertentu dan Profesor tertentu yang menyatakan sah Nizar kena letak jawatan. Dia tidak jadi Menteri Besar. Tetapi tanggapan umum dan kepada kumpulan-kumpulan yang faham mengenai perundangan, mereka mengatakan apa yang kita buat adalah mengikut lunas perundangan.

Apakah sebelum krisis sekarang ini, Dato' Seri pernah punyai hubungan kurang baik dengan istana Perak? Berkonfrantasi?

Persepsi mengatakan saya berkonfrantasi tidak betul. Sebab jika saya berkonfrontasi, hubungan saya sudah terjejas dua tiga bulan sebelum ini. Tetapi ia berterusan selama 10 bulan sehingga tahun ini. Dan hubungan saya dengan Tuanku dalam mana-mana program, cukup intim dan saya sentiasa bersama-sama baginda.
Saya melawat Tuanku hampir setiap minggu. Jadi nak kata hubungan itu tidak elok, sudah renggang tidak betul.Saya berjumpa Tuanku setiap minggu. Dan kadang-kadang dalam program setiap hari dengan Tuanku. Jadi hubungan itu cukup baik. Dengan pegawai-pegawai istana, kaum kerabat Tuanku, hubungan cukup baik.
Saya boleh berinteraksi dengan mereka dalam kepentingan mereka. Saya boleh berinteraksi dengan mereka dan mereka boleh bersetuju dengan saya.

No comments

Powered by Blogger.