KRONOLOGI 2 EXCO HILANG
Saya mula menulis kembali diblog ini bagi menjelaskan isu-isu terkini di Perak. Sekembalinya dari Tanah Suci, saya berehat beberapa minggu dari menulis di blog ini, saya sedang mereka bentuk semula blog ini supaya lebih menarik, selepas siap saya akan menulis kembali. Disebabkan isu di Perak sentiasa panas ekoran 2 EXCO ini, saya sentiasa menerima panggilan bertalu-talu dan mesej, sehingga saya tidak sempat untuk menyemak fail di pejabat, setiap minit hp berdering, tidak dijawab saya dikatakan sombong dan macam-macam lagi. Pernah saya tidak menjawab sepanjang hari, kerana ada ketikanya sepanjang hari penuh dengan mesyuarat, missed callsnya terlalu banyak, tak terdaya nak call semula. Ada seorang hamba Allah, telepon saya, apabila saya angkat, ungkapan pertamanya cukup menyakitkan hati hanya kerana saya tidak menjawab panggilannya, saya hanya bersabar, bila tidak tahan dengan leteran dan perlian serta tohmahannya, saya pun jawab minta maaf, line tak clear dan tutup panggilan. Selepas itu, terfikir pula patut ke saya berbuat begitu ?
Sekarang, bila saya dapat mesej atau panggilan, bertanya isu-isu pergolakan politik di Perak saya akan jawab layari blog saya. Blog ini kembali aktif selepas ini, Insya Allah.
ISU 2 EXCO
Isu hilang 2 exco bermula apabila kunjungan hormat Pengerusi PKR yang baru (tuan Hj Osman) kepada Menteri Besar di pejabat MB, beliau sebagai Timbalan Pengerusinya tidak hadir. Kali terakhir dia jumpa saya (tak ingat tarikh), beberapa hari sebelum hari mengundi Kuala Terengganu, sehari dua selepas saya balek dari Tanah Suci, beliau meminta saya rekomen pada YAB MB supaya permohonan balak syarikat rakannya diluluskan. Saya jawab Insya Allah. YB Osman juga tidak hadir dalam kunjungan tersebut.
Dalam mesyuarat menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat di Alor Setar, beliau dipilih mewakili EXCO PKR Perak (kerana kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan). Mesyuarat yang sebegini penting, beliau tidak hadir dan tidak memaklumkannya kepada YAB MB Perak. Tempatnya digantikan oleh YB Osman, itu pun tidak ikuti sehingga habis.
Sewaktu ADUN Bota mengunjungi YAB MB Perak, beliau berdua juga tidak hadir sama, EXCO-EXCO dari DAP dan PAS hadir, termasuk juga ADUN-ADUN, ramai yang hadir meraikan kunjungan ADUN Bota ke pejabat Menteri Besar. Semua menyatakan seronok dan gembira dengan kemasukan ADUN Bota ke Pakatan Rakyat.
Kelibatnya terus tidak kelihatan di Pejabat EXCO sehinggalah sekarang. Bermacam usaha digunakan untuk mengesan mereka, YAB MB Perak dan Juga YB Dato’ Seri Anwar juga turut menghubungi melalui panggilan telepon, pesanan suara dan SMS, namun tidak ada jawapan. Pegawai khas dan pemandunya sekadar memberitahu kedua-dua YB tersebut sakit, tetapi mereka sendiri samada melalui pegawai khasnya atau sesiapa sahaja tidak ada yang memaklumkan kepada MB.
Kehilangannya menjadi tanda tanya, berbagai andaian dan rumus mengatakan mereka akan masuk BN atau bebas. Apabila Pak Lah sendiri buat kenyataan 3 orang dari Pakatan Rakyat akan menyertai BN, kami buat kesimpulan 2 orang itu adalah YB Jamal dan YB Osman.
Mesyuarat tergempar diadakan di rumah MB, ADUN-ADUN Pakatan rakyat hadir termasuk Adun Bota, yang tidak hadir memaklumkan kepada MB atau pengerusi parti masing-masing. YB Hee yang turut tidak dapat dikesan 2 hari sebelum ini, juga dapat dihubungi pada sebelah malamnya dan menyatakan komitmennya bersama Pakatan Rakyat.
Setelah kesepakatan dibuat, MB buat kenyataan akhbar, 2 EXCO ghaib tanpa dikesan, MB membuat telahan ini kerja jahat BN yang mahu mencolek 2 EXCO tersebut bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Pada malam Isnin semalam, Speaker membuat kenyataan akhbar, 2 EXCO telah meletakkan jawatan apabila beliau menerima surat perletakan jawatan di kediamannya jam 5.45 petang. Kenyataan media keluar di berita jam 8.00 dan jam 9.00 malam. Apabila berita itu keluar, tak semena-mena kedua-dua EXCO yang menghilang diri terus muncul buat kenyataan kepada media menafikan perletakkan jawatan.
Hari ini SPR buat kenyataan bahawa kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering kekal diwakili oleh kedua-dua Adun tersebut dan menolak notis Spekaer yang dihantar kepada SPR.
Pakatan Rakyat negeri Perak akan bersidang bagi mengambil tindakan seterusnya mencabar keputusan SPR. Kita tunggu dan lihat seterusnya.
Saya difahamkan selepas ini kedua mereka akan digunakan oleh BN untuk memburukkan MB Perak, Insya Allah saya akan jelajah seluruh negeri bagi menjawab tohmahan tersebut, blog ini juga akan aktif menjawab semua isu dan tohmahan oleh mereka.
http://misabah.blogspot.com/
No comments
Post a Comment