Najib: Terminal LCCT di Labu batal - malaysiakini


PHUKET: Kerajaan tetap dengan keputusannya untuk menolak cadangan AirAsia Bhd dan Sime Darby untuk membina sebuah lapangan terbang tambang murah (LCCT) berharga RM1.6 bilion di Labu.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek di Labu tersebut tidak dapat diteruskan cadangan asalnya kerana Sime Darby tidak akan menampung kos pembinaan infrastruktur yang dianggarkan kira-kira RM800 juta.

"Mereka hanya akan menjual tanah sahaja kepada pihak yang membinanya. Kalau Airport Malaysia (Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), maknanya jual kepada Airport Malaysia... dia (Sime Darby) tidak akan membelanjakan untuk kos infrastruktur bernilai RM800 juta," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Khas Menterimenteri Kewangan Asean+3 (AFMM) di sini hari ini.

Najib berkata, beliau telah mendapat pengesahan secara hitam putih daripada Sime Darby berhubung perkara itu.

"Dan kalau mereka tidak memberi sumbangan, tidak ada asaslah untuk projek ini untuk dipertimbangkan," kata beliau dipetik Bernama.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa laporan bahawa cadangan pembinaan terminal LCCT itu di Labu, Negeri Sembilan masih dalam perbincangan antara kerajaan dan pihak berkaitan.

Beliau berkata, LCCT baru akan dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang tetapi kaedah tuntutan AirAsia terhadap LCCT baru itu berkaitan soal bayaran tempat meletak kapal terbang dan lain-lain masih dalam rundingan.

No comments

Powered by Blogger.