poorah tamby!

MIC Mahu Letak Calon Jika Pilhanraya Kecil Diadakan

SUNGAI SIPUT, 2 Feb (Bernama) -- MIC sedia meletakkan calonnya bagi mewakili Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi berkenaan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr S.Subramaniam.

Kerusi DUN Behrang disandang oleh MIC sebelum calonnya Datuk M.Ramasamy tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jamaluddin Mohd Radzi pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac tahun lalu.

"Kami akan mohon kepada pimpinan tertinggi BN untuk bertanding di kerusi ini sekiranya SPR menerima keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar mengenai peletakan jawatan Jamaluddin," katanya kepada pemberita selepas melawat Ladang Sungai Reyla, Lintang di sini, Isnin.

Sivakumar hari ini menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR akan bermesyuarat esok bagi menentukan status Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) yang dilaporkan telah meletak jawatan semalam.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Jamaluddin mengalahkan calon BN Ramasamy yang juga Ketua MIC Bahagian Tanjung Malim dengan majoriti 1,027 undi manakala Mohd Osman menewaskan calon BN dari Umno, Datuk Mat Isa Ismail, dengan majoriti 1,102 undi.

Jamaluddin memperolehi 6,771 undi berbanding Ramasamy yang mendapat 5,744 manakala Mohd Osman memperolehi 9,411 undi berbanding Mat Isa 8,309 undi.

Jamaluddin dan Osman menafikan telah meletak jawatan dan mendakwa surat yang dimaksudkan oleh Sivakumar adalah surat yang ditandatangani oleh mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum tahun lepas.

-- BERNAMA




No comments

Powered by Blogger.