ULASAN PEGUAM PAS

KES DUA ADUN PERAK-SPR BERTINDAK MELEBIHI BIDANGKUASANYA

oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Perletakan jawatan dua ADUN Perak iaitu ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering kini menjadi isu yang panas.

Kedudukan dua kerusi DUN itu menimbulkan tanda tanya apabila Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mengeluarkan kenyataan media bahawa ADUN Behrang Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu telah menghantar surat perletakkan jawatan.Bagaimanapun, tidak sampai tiga jam selepas itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat demikian.
Sivakumar telah pun menyerahkan surat rasmi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah SPR Perak, Ahmad Adli Abdullah.

Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan bahawa surat perletakan jawatan tersebut ada keraguan dan memutuskan kerusi kedua-dua DUN tersebut adalah kekal. Bagi saya tindakan SPR adalah tidak sah. Saya nampak tujuan SPR membuat keputusan tersebut lebih kepada memindahkan beban membukti peletakan jawatan itu sah kepada pihak Speaker dan Kerajaan Negeri Perak. Dengan lain perkataan kini bukan kedua-dua ADUN tersebut yang perlu membuktikan bahawa perletakan jawatan mereka tidak sah sebaliknya pihak Speaker dan Kerajaan Negeri Perak pula kena buktikan yang perletakan jawatan kedua-dua ADUN tersebut sebagai sah. Dengan tiada keperluan mengadakan pilihanraya kecil kini tiada halangan bagi kedua-dua ADUN tersebut untuk melompat menyertai UMNO.

Saya yakin SPR telah bertindak di luar bidang kuasanya. Keputusan SPR yang enggan mengisytiharkan pilihanraya kecil bagi kedua-dua DUN tersebut adalah ultra vires. SPR tidak mempunyai kuasa untuk bertindak seperti Mahkamah dengan mengisytiharkan surat perletakan tersebut adalah tidak sah atas alasan ianya mengandungi keraguan. Tugas dan tanggungjawab SPR adalah sekadar menerima keputusan speaker DUN Perak yang memaklumkan SPR bahawa kerusi bagi kedua-dua DUN telah kosong. Ia tidak boleh ' goes beyond the four corners of the resignation letters" kedua-dua ADUN tersebut.

Para pembaca , saya percaya , ingin tahu adakah perletakan jawatan kedua-dua ADUN tersebut adalah sah di sisi undang-undang ?

Pertamanya mari kita dengar terlebih dahulu daripada mereka yang mengatakan perletakan jawatan tersebut tidak sah. Hujah mereka bersandarkan kepada alasan-alasan berikut :-

a. Surat yang mendakwa mereka meletakkan jawatan itu sebenarnya surat lama tanpa tarikh.Mereka dan lima lagi ADUN PKR lain menandatangani surat itu pada Mac tahun lalu sebaik sahaja pakatan Pas, DAP dan PKR membentuk kerajaan di negeri Perak. Seseorang ADUN tidak seharusnya memberikan mana-mana pihak surat perletakan jawatan apabila ia dipilih sebagai wakil rakyat. Orang yang dipilih oleh rakyat mesti diberikan kebebasan untuk bertindak ( freedom to act ) . Beliau tidak boleh disekat untuk mencabar apabila ada pihak menyerahkan surat perletakan jawatannya yang tidak bertarikh mengikut sesuka hati pihak tersebut.

b.Terdapat keputusan Mahkamah pada tahun 1982 di dalam kes antara ahli parti Sarawak United People’s Party (SUPP) Datuk Ong Kee Hui lawan Presiden SUPP iaitu Sinyium anak Mutit yang memutuskan mana-mana "arrangement" menyerahkan surat perletakan jawatan seorang wakil rakyat kepada Speaker adalah bertentangan dengan polisi awam dan dengan itu ia adalah tidak sah.

Di dalam kes tersebut Mahkamah telah memutuskan seperti berikut :-

“The candidate so chosen must also be free to act according to the best of his ability and his judgment and should not be subjected to the dictates of others.Therefore, any rule or contract with or without consideration which contravenes this freedom strikes at the very root of representative government and is therefore void and also against the public policy.”
( Terjemahan : mana-mana calon mestilah diberi kebebasan untuk bertindak mengikut kemampuan dan perkiraannya sendiri tanpa tertakluk kepada arahan orang lain. Oleh itu sebarang peraturan atau kontrak tanpa sebarang balasan adalah bertentangan dengan kebebasan ini .Oleh itu ia melanggar asas kerajaan yang diwakili dan dengan itu ia adalah tidak sah kerana bertentangan dengan dasar awam.

Secara ringkasnya mereka yang menyatakan bahawa perletakan jawatan kedua-dua ADUN tersebut adalah tidak sah berhujah di atas asas kerana ia dikatakan melanggar prinsip kebebasan kedua-dua ADUN tersebut. Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah tindakan meminta kedua-dua ADUN tersebut menandatangani surat perletakan jawatan tanpa mengandungi tarikh menjadikan kedua-dua ADUN tersebut sebagau patung ( puppet ) yang talinya ditarik oleh parti-parti politik ( whose strings are being pulled by respective political parties )

Saya berpendapat perletakan jawatan tersebut adalah sah. Hujah saya adalah seperti berikut :-

a. Di dalam kita menentukan sama ada perletakan jawatan tersebut adalah sah atau tidak adalah dengan pertamannya kita melihat peruntukkan Perlembagaan Negeri Perak mengenai perletakan jawatan seseorang ADUN. Saya sempat melihat peruntukkan tersebut . Ianya terkandung di dalam Perkara xxxv Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas memperuntukkan bahawa seseorang ADUN tersebut boleh meletakkan jawatan sebagai ADUN dengan menulis surat yang dialamatakan kepada Speaker.

b. Berdasarkan Perkara xxxv Perlembagaan Negeri Perak apa yang penting adalah terdapat surat perletakan jawatan dan surat perletakan jawatan tersebut dialamatkan kepada Speaker. Di dalam kes kedua-dua ADUN ini adalah jelas terdapat surat yang mengandungi tandatangan kedua-dua ADUN tersebut dan surat tersebut telah dialamatkan kepada Speaker. Atas dasar ini surat perletakan jawatan tersebut adalah memadai dan sah kerana ia memenuhi peruntukkan xxxv Perlembagaan Negeri Perak.

c. Dari apa yang dilaporkan di akhbar, kedua-dua ADUN tersebut tidak menafikan ada menandatangani surat perletakan jawatan sebagai ADUN tetapi mempersoalkan keesahannya kerana surat tersebut tidak bertarikh dan kononnya tandatangan dibuat secara paksa. Saya berpendapat , hujah ini amat rapuh kerana jika dilihat kepada peruntukkan xxxv tidak mensyaratkan tentang keperluan adanya tarikh dalam surat perletakaan jawatan tersebut. Tentang tandatangan dibuat secara paksa saya juga berpendapat ianya satu hujah "afterthought" ( datang kemudian ). Kenapa sejak dari awal kedua-dua ADUN tersebut tidak membangkitkan hal dipaksa tersebut. Kenapa semasa mereka disuruh tandatangan surat tersebut sebelum mereka mengangkat sumpah menjadi exco dahulu mereka tidak pernah sama sekali membangkitkan bahawa mereka dipaksa tandatangan surat tersebut.

d. Di dalam menilai sama ada surat perletakan jawatan tersebut sah atau tidak kita perlu melihat dan mengambil kira sama ada kedua-dua calon tersebut bertanding atas tiket calon bebas atau atas tiket parti politik tertentu. Jika mereka bertanding atas tiket calon bebas ,jelas tidak ada pihak boleh memaksa mereka menandatangani surat perletakan jawatan . Bagaimanapun apabila mereka bertanding atas tiket partai tertentu seperti apa yang berlaku sekarang , mereka tidak boleh bertindak sesuka hati mereka. Mereka kena faham bahawa rakyat mengundi bukan atas peribadi mereka tetapi kerana parti yang mereka bertanding. Oleh itu segala tindakan mereka tidak bebas seperti bebasnya seorang calon bebas. Mereka kini mewakili partai yang mereka bertanding. Oleh itu jika partai mengarahkan mereka tandatangai surat perletakan jawatan ianya tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan memaksa. Tiada siapa paksa mereka bertanding atas tiket PKR kecuali dengan kehendak mereka sendiri. Mereka menang dan dipilih bukan kerana kehebatan mereka tetapi kerana partai politik yang mereka dokong. Adalah tidak logik dan munasabah semasa mereka menang mereka tidak menimbulkan mereka dipaksa oleh PKR tetapi apabila mereka mula "menghilang diri" dan dipercayai mempunyai sebab untuk membelot kini mereka membangkitkan pulu isu mereka dipaksa untuk meletak jawatan ?

e. Saya bersetuju dengan hujah Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang menyatakan tindakan meminta kedua-dua ADUN tersebut menandatangani surat perletakan jawatan tanpa mengandungi tarikh menjadikan kedua-dua ADUN tersebut sebagai patung ( puppet ) yang talinya ditarik oleh PKR . Bagaimanapun tidakkah Datuk Shafie juga melihat tindakan kedua -dua ADUN tersebut yang tiba-tiba hilang dan tidak dapat dihubungi oleh pimpinan parti mereka dan juga Menteri Besar Perak sendiri menunjukkan ada pihak lain selain PKR yang juga sedang menjadikan kedua-dua ADUN ini sebagai patung "baru" yang mungkin lebih mahal -siapa tahu mungkin patung baru ini kini bernilai RM 50 juta ?

No comments

Powered by Blogger.