Umno sudah berada di penghujung jalan mati- malaysiakini

Oleh Suhaimi Taib

Umno sudah kehabisan modal untuk beretorik dengan rakyat di saat dunia dilanda krisis ekonomi yang teruk.

Mewujud kemelut politik di Perak dan menyerang wakil rakyat Pakatan Rakyat secara peribadi dengan membongkar kehidupan peribadi mereka antara satu cara mengalihkan perhatian rakyat kepada isu sebenar parti itu.


Sebenarnya Umno sudah berada di penghujung jalan mati berhadapan dengan lubang puaka yang dalam.

Umno menunggu masa untuk dihumbankan dalam lubang itu oleh rakyat. Apabila Umno berhadapan dengan keadaan demikian, parti itu akan dan sedang berusaha dengan apa cara sekalipun termasuk dengan cara kejam dan jahat untuk menarik simpati rakyat mendokong semula parti itu dengan tindakan seumpama itu.

Perjuangan untuk mempertahankan Melayu, Raja-raja Melayu, ekonomi orang Melayu dan apa-apa lagi berkaitan dengan Melayu sudah lama gagal di telan zaman.

Sejarah membuktikan orang-orang Melayu tidak kedepan dalam semua aspek berbanding dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Kayu pengukur kekuatan orang Melayu hanyalah apabila Umno cuba menjadikan dirinya sebagai parti dominan dan berkuasa di negara ini tetapi parti itu tidak akan kekal selama-lamanya begitu selepas ini apabila semua bangsa bersatu menolak Umno.

Percikan kemaraan bangsa Malaysia menolak Umno atau Barisan Nasional (BN) sudah membara sejak pilihan raya umum ke 12, 8 Mac 2008, diikuti pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu baru-baru ini.

'Mood' ini suatu perkembangan positif kepada negara Malaysia untuk melihat kehidupan politik, sosial dan ekonomi negara diterjemahkan dan digambarkan pada tahap realistik sebenarnya bukan hanya retorik dan propaganda sebagaimana dipersembahkan Umno/BN selama ini.

Dan 'mood' inilah yang mahu dihentikan Umno.

Justeru, rakyat perlu diberi kesedaran pada tahap manakah kedudukan politik, sosial dan ekonomi mereka dewasa ini dan apakah sumbangan mereka untuk memperbetulkan perjalanannya sehingga impaknya rakyat merasai keadilan, kemakmuran, keseimbangan hidup yang sebenarnya.

Umno/BN sebelum ini telah menutup kelemahan politik, sosial dan ekonomi negara kepada umum demi menyelamatkan kuasanya sebagai peguasa tetapi dengan adanya media bebas seperti blog dan internet, pekong Umno tidak berupaya lagi dibendung.

Inilah peluang rakyat dan suaranya berkumandang tetapi mesti sentiasa berpihak kepada kebenaran untuk mempastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dari sebelum ini melalui peralihan kuasa dari Umno/BN kepada Pakatan Rakyat.

Rakyat perlu mengambil kira undang-undang dalam membuat pertimbangan sewajarnya untuk perubahan kuasa itu di samping rakyat perlu juga memperbetulkan undang-undang yang tidak adil melalui wakil mereka di parlimen dan dewan undangan negeri apabila mereka memperolehi kuasa dari Umno tidak lama lagi.

Bagaimanapun kuasa rakyat jangan sekali-kali dibenarkan berada lebih tinggi dari kuasa Tuhan kerana inilah apa yang dinamakan mengerakkan negara ke arah sebuah negara sosialis kerana sosialis mengajar suara rakyat lebih tinggi dari kuasa Tuhan.

Dalam erti kata lain semua aspek perlu dilihat dari sudut kebenaran dan kebenaran sebenarnya terkandung dalam al-Quran yang tidak pernah tercabar dan tergugat kebenarannya dari dahulu sehingga hari kiamat.

Beginilah penilaian yang perlu dibuat oleh rakyat, melihat pergolakan dalaman negara dewasa ini.

No comments

Powered by Blogger.