Sivakumar beri keterangan kepada polis- malaysiakini
SERI ISKANDAR - Polis Perak kini menjalankan siasatan terperinci terhadap 19 laporan polis yang diterima berhubung isu penggantungan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco negeri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kesemua laporan polis yang diterima itu disiasat di bawah Seksyen 124 dan 120 (B) Kanun Keseksaan.
"Sivakumar akan memberi keterangannya dan sejurus siasatan selesai, laporan lengkap mengenainya akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
"Saya tidak boleh memastikan bila agaknya laporan itu akan diserahkan, tetapi kita akan mengendalikan kes ini dengan berhati-hati dan akan melengkapkan siasatan dengan sebaik mungkin bagi menjamin keamanan rakyat di negeri ini terus terpelihara," katanya di sini semalam.
Sivakumar baru-baru ini bertindak menggantung Zambry dan Exconya daripada menghadiri sidang DUN kerana menganggap pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak tidak sah.
Menurut Zulkifli, 13 laporan polis tersebut diterima di balai polis seluruh Perak manakala enam lagi dari luar negeri ini.
Sementara itu, di Ipoh, Sivakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tronoh telah memberi keterangan kepada polis berhubung tindakannya menggantung Zambry dan enam Exco berkenaan di sebuah pejabat peguam di sini petang semalam
No comments
Post a Comment