UMNO TIADA GERAKAN BERSEPADU-malaysiakini


(Sembang Ahad)

Semalam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, UMNO akan terus memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai situasi sebenar politik negara terutama di Perak bagi membolehkan rakyat mengetahui sikap sebenar pembangkang.

"Saya fikir rakyat tidak akan menyokong kumpulan yang ingkar dan derhaka kepada raja...kita akan terus memberikan penerangan kepada rakyat mengenai perkembangan semasa politik tanah air," katanya selepas melancarkan Program Tanam Semula Sawit Ke Sawit peringkat kebangsaan di Temerloh semalam.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas penulis blog yang menghina institusi raja di negara ini.

"Kita juga meminta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengkaji bentuk tindakan yang boleh diambil ke atas penulis blog terbabit selain mengemukakan cadangan (bentuk tindakan) kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata penulis blog telah memutar-belitkan keadaan sebenar yang berlaku di negeri Perak sehingga menjejaskan imej dan kredibiliti insititusi beraja yang selama ini dihormati dan termaktub di dalam Perlembagaan.

Wahai Ketua Penerangan UMNO, persoalannya bukan sekadar penjelasan dan mengambil tindakan terhadap penulis blog.

Ini cara lama dan kuno dalam abad ke 21 ini. UMNO sewajarnya ‘menyerang’ dan menggunakan sebarang peluang bukan penjelasan sepanjang masa.

Sekarang baru sedar blog dan website penting - namun apakah langkah bersepadu yang dilakukan Ibu Pejabat UMNO menggendalikan isu ini?

Cuba buka website UMNO negeri-negeri, apakah ia berfungsi?

Mana penulis blog UMNO Negeri?

Kalau mahu teruskan penjelasan, mananya penjelasan UMNO secara bersepadu mengenai isu-isu utama sama ada melalui parti atau saluran yang proUMNO?

Kita sering mendengar pemimpin UMNO membuat penjelasan dengan seribu irama, bukan satu nada dan irama!

Baru-baru ini ada bekas Menteri yang kononnya mendakwa dirinya sebagai orang yang diamanahkan untuk bertemu dan mengumpulkan penggendali dan penulis blog.

Beri nombor telefon dan blognya tetapi apabila dihubungi tidak pernah ada respon. Hangat-hangat tahi ayam!

Sebaliknya Pakatan Rakyat menggunakan blog dan penceramah secara bersepadu sedangkan UMNO hanya mengharapkan beberapa blog yang dikendalikannya sahaja untuk mempertahankan parti.

Kalau yang bukan di Ibu Pejabat UMNO, itupun kerana memang penggendali blog berkenaan bersimpati dengan BN dan sayangkan UMNO.

Tetapi apakah UMNO sayangkan mereka?

Jawapanya ada kepada pemimpin UMNO, termasuk Muhammad Taib.

Malah, kini Ketua Penerangan UMNO itu jelas sudah ‘patah kuku’ dan mati akal untuk menyusun program yang mampu menangkis serangan pembangkang apabila mahu mengambil tindakan terhadap blog propembangkang.

Memang benar bukan tugasnya seorang tetapi lihat sahaja apa yang dilakukan oleh PAS.
PAS menggunakan ramai penceramah, termasuk mualaf untuk membantu supaya orang Cina mempercayai perjuangan mereka. Malah ia bukan sekadar berceramah di tempat mereka, sebaliknya hingga ke negeri lain.

Contohnya malam kelmarin, pada ceramah perdana di Padang Perdana, Kota Bharu malam kelmarin, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Khalil Adham Lim Abdullah cuba memupuk kemarahan orang Kelantan terhadap BN apabila berkata, rumah Adun Jelapang sekarang menjadi sasaran rakyat yang tidak berpuas hati terhadap tindakannya menjadi pembelot.

"Saya diberitahu setiap hari orang yang lalu lalang di depan rumahnya menghamburkan kata-kata kesat. Ada yang melemparkan telur busuk dan macam-macam lagi.
"Anaknya juga tidak dapat berniaga seperti biasa sekarang kerana tidak tahan berdepan dengan cemuhan orang ramai," katanya.

Menurut Adham Lim lagi, tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang menjadi penyebab kepada krisis perlembagaan di Perak dikatakan dihimpit kecelaruan apabila masih menyembunyikan diri sehingga sekarang.

Tiga Adun Bebas, Jamaluddin Mohd Razdi (Behrang); Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang) dikatakan oleh Adham Lim, belum kembali ke rumah mereka sejak episod kehilangan mereka sebelum ini.

Malah seorang daripada Adun terbabit, menurut Adham Lim tidak juga kembali ke rumah biar pun isterinya sakit tenat sekarang.

Manakala Hee Yat merupakan orang kurang upaya (OKU) juga belum pulang ke rumahnya.
Perkembangan isu di Perak sekarang ternyata menarik minat rakyat Kelantan apabila ribuan hadir. Padang Perdana dipenuhi 'lautan' manusia berkopiah dan bertudung putih.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, anggota parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan wakil Hamas, Sami Abu Zahri.

Dilaporkan ribuan hadir pada ceramah di Kedai Kubang Kerian.

Sebelum itu ceramah juga diadakan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah dan Markaz Tarbiah PAS Rantau Panjang.

Mana ceramah gabungan UMNO Pusat dan UMNO Kelantan?



http://hambali1.blogspot.com/2009/02/umno-tiada-gerakan-bersepadu.html

No comments

Powered by Blogger.