Yang Benar, Yang Salah! -malaysiakini

Kemelut Politik di Negeri Perak Darul Ridzuan sebenarnya telah berjaya menunjukkan sikap sebenar “Wakil Rakyat” yang telah dilantik apabila menang didalam Pilihanraya (sama ada diperingkat Dewan Undangan Negeri ataupun Persekutuan).

Persoalan yang perlu kita semua bincangkan dengan RASIONAL adalah, bagaimana mengklasifikasikan istilah dan konsep “Wakil Rakyat” itu sebenarnya.

1. Adakah “Wakil Rakyat” itu sebenarnya mewakili rakyat, dirinya ataupun partai yang didukunginya?
2. Adakah “Wakil Rakyat” itu boleh bertindak tanpa mendapat pungutan suara (konsensus) daripada rakyat yang diwakilnya?
3. Adakah “Wakil Rakyat” boleh dibenarkan melompat partai (tanpa dikenakan apa-apa tindakan).

Baiklah,

Disini mari kita bincangkan perkara yang pertama iaitu Adakah “Wakil Rakyat” itu sebenarnya mewakili rakyat, dirinya ataupun partai yang didukunginya?. Berdasarkan istilah dan perkataan “Wakil Rakyat” itu sendiri, maka adalah sewajarnya jawatan yang didukunginya disandarkan kepada tugasan untuk mewakili rakyat dalam apa jua keadaan. Oleh itu seorang “Wakil Rakyat” tidak boleh merasakan jawatan yang didukunginya hanyalah untuk dirinya ataupun untuk parti yang dianggotainya.

Maka segala tindak tanduknya perlulah mendapat persetujuan dari rakyat yang diwakilinya secara konsensus tanpa beliau bertindak sendirian. Ini kerana beliau mendapat jawatan tersebut atas undi yang telah rakyat berikan semasa pilihanraya. Tanpa persetujuan rakyat yang diwakilinya, maka sewajarnya tindakan yang dilakukan olehnya boleh dipertikaikan malah boleh dicabar di mahkamah. Hanya pengundi berdaftar bagi kawasan “Wakil Rakyat” tersebut boleh mencabar tindakan “Wakil Rakyat” mereka sekiranya tindakan “Wakil Rakyat” tersebut tidak mendapat mandat rakyat.

Bagi tindakan “Wakil Rakyat” melompat parti, kita tidak boleh (disegi undang-undang) untuk menyekat tindakan ini selagi mana tidak dikuatkuasakan undang-undang anti lompat parti. Mana-mana orang perseorangan boleh keluar masuk mana-mana persatuan ataupun pertubuhan tanpa sekatan dibawah Undang-Undang Malaysia.

Namun apa yang boleh dipertikaikan kini adalah bagi kes “Wakil Rakyat” yang bertindak melompat parti ataupun mengesahkan bahawa beliau telah menjadi “Wakil Rakyat Bebas”, beliau sepatutnya membayar kembali;

1. Yuran Pertaruhan bagi pilihanraya yang telah dilangsungkan (biasanya yuran ini disediakan oleh parti yang didokonginya semasa pilihanraya)
2. Kos-kos berkaitan pilihanraya (poster, banting, kos operasi dan sebagainya)
3. Denda (sekiranya ada mengikut perlembagaan setiap parti) bagi sesiapa yang keluar daripada parti

Bayaran ini perlulah diperjelaskan sebelum tindakan melompat parti (keluar dari parti) diambil dan ianya perlulah dikira bersekali dengan faedah-faedah (interest) lain sekiranya wajar (bagi pilihanraya yang telah dilangsungkan lebih dari setahun.

Dan sewajarnya bagi mana-mana “Wakil Rakyat” yang melompat parti, adalah perlu mereka mengosongkan kerusi yang diduduki bagi membolehkan rakyat dikawasan tersebut membuat pemilihan mereka sendiri dengan seadil-adilnya. Jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak membenarkan satu pilihanraya yang baharu dilakukan, maka satu saman bolehlah dibuat oleh mana-mana pengundi berdaftar (bagi kawasan yang mana wakil rakyatnya telah melompat parti) terhadap Suruhanjaya Pilihanraya.

Para pengundi sebenarnya mempunyai hak yang amat luas didalam perundangan Malaysia jika mereka mahu menggunakan kuasa yang ada pada mereka. Malah Suruhanjaya Pilihanraya tidak boleh membatalkan mana-mana saman yang dibuat oleh para pengundi melainkan setelah hakim berpuas hati dengan hujah-hujah kedua belah pihak (para pengundi dan Suruhanjaya Pilihanraya).

Kerajaan (negeri ataupun persekutuan) adalah direkabentuk untuk rakyat dan sewajarnya perlu mendapat mandat rakyat seadilnya. Oleh yang demikian sewajarnya setiap perubahan dalam organisasi Kerajaan (negeri ataupun persekutuan) perlulah mendapat konsensus rakyat (yang biasanya diperolehi melalui satu pilihanraya).

Biarpun kuasa untuk memperkenankan pembubaran DUN/Parlimen terletak dibahu para Sultan dan sebagainya, namun bagi mendapatkan sesuatu keputusan yang yang adil, maka perlulah para Sultan dan sebagainya melaksanakan perkenan tersebut dan membubarkan DUN/Parlimen supaya satu pilihanraya yang adil boleh diadakan.

Dan tindakan yang dilakukan oleh Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (bagi kes politik di Negeri Perak Darul Ridzuan) adalah bersalahan dengan keperluan perlembagaan bagi mendapatkan satu Kerajaan Negeri yang adil serta mendapat mandat rakyat (pengundi). Oleh yang demikian tindakan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ini boleh dicabar dari sudut perundangan.

Saya sedia maklum bahawa Sultan Azlan Muhibbuddin Shah adalah bekas Ketua Hakim Negara, namun ianya tidak bermaksud bahawa beliau maksum daripada terkhilaf ketika menafsirkan undang-undang serta perlembagaan itu sendiri, sepertimana diri saya sendiri yang mungkin ada terkhilaf ketika memberikan pandangan serta komentar.

Walau apa pun pandangan saya, saya tetap rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan dan masih menerima pakai frasa “Yang Adil Disembah, Yang Zalim Disanggah”, biarpun mungkin ada pihak beranggapan bahawasanya saya telah menderkaha kepada Sultan.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa - ISIS

http://ketuaperusuh.wordpress.com/


No comments

Powered by Blogger.