najib pening kepala fikir pasal tol malaysia!

Najib arah EPU cari penyelesaian isu tol

KLANG: Kerajaan telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) supaya mencari satu penyelesaian yang komprehensif untuk menangani isu kenaikan tol yang perlu dilakukan setiap tiga tahun sekali, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

"Ini memang selari dengan apa yang saya arahkan kepada EPU supaya mencadangkan kepada kerajaan satu penyelesaian untuk menangani masalah tol ini yang merupakan satu bebanan kepada rakyat dan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-63 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia di sini.

Ditanya sama ada pembelian balik PLUS Expressways Bhd adalah antara pilihan Najib yang juga Menteri Kewangan berkata:

"Kita melihat segala pilihan (tetapi) terlalu awal bagi saya untuk menyatakan apakah yang mungkin dilakukan oleh kerajaan."

Najib berkata, kerajaan menyedari satu penyelesaian yang komprehensif perlu dilakukan terhadap isu tol ini kerana ia adalah satu perkara yang amat tidak disukai oleh rakyat.

Mengenai isu tenaga, Perdana Menteri berkata kerajaan dari masa ke masa akan mengkaji semula tarif elektrik serta harga gas asli dengan mengambil kira keseimbangan kepentingan semua pihak yang terbabit, sama ada pengguna atau penyedia tenaga.

"Ia perlu diambil kira secara holistik dan menimbangkan kedudukan Tenaga Nasional Bhd, industri serta dari segi kemampuan negara, rizab minyak dan gas yang kita ada," katanya.

Mengenai semakan semula berikutnya, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak tahu lagi tetapi saya akan mengkaji perkara itu dahulu." - Bernama

No comments

Powered by Blogger.