Hanya ulama profesional layak jadi Presiden Pas: Nik Aziz
KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menegaskan hanya golongan ulama profesional yang layak memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan yang akan diadakan bulan depan.
Beliau berkata, mereka yang ingin menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi parti itu perlu bermuhasabah diri sama ada mereka benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan parti.
"Pas parti pimpinan ulama. Memang dulu ulama tidak berpelajaran tapi kini ulama sudah banyak yang terpelajar dan pandai. Dia ulama dia jugalah profesional.
"Ulama dan profesional ni kita gabungkan. Dah lama dah selesai benda ni, sepatutnya tak timbul lagi isu," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman beliau di Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas pemilihan parti bulan depan yang dijangka menyaksikan saingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden yang dikaitkan dengan hala tuju sebenar parti.
Penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan itu.
Antara nama yang disebut-sebut akan mencabarnya ialah dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu, selain Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.
Bagaimanapun Husam hanya membayangkan untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang "hubungan sulit" Pas-Umno.
Kenyataan Nik Aziz itu senada dengan ketetapan Dewan Ulama Pas yang mahu dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.
Ketetapan yang dibuat Dewan Ulama Pas itu bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi, meminta anggota parti mengutamakan kepimpinan ulama kerana dua pemimpin tertinggi itu berperanan memberikan nasihat dan memastikan hala tuju parti bertepatan dengan ajaran Islam.
Berhubung rasa tidak senang hati sebilangan anggota parti itu terhadap pimpinan Pas yang pro-pakatan pembangkang, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta supaya mereka yang tidak bersetuju akur dengan keputusan pimpinan.
"Saya sendiri pro-pakatan, kita dah buat perjanjian dalam Muktamar (Tahunan Pas) di Ipoh dulu. Pakatan ni benda baru, baru setahun. Tak boleh tegak selalu. Kadang-kadang dia mati. Macam Semangat 46 dulu, mati.
"Dalam Islam begitu juga. Zaman Nabi dulu ada orang murtad. Ini benda baru, apa yang peliknya," katanya. - Bernama
kahkahkahkahkah....mapus dah umno! kahkahkahkah.... mati dah akal puak umno!
No comments
Post a Comment