Iktibar dari krisis politik di Perak


Oleh Hassan Karim

MEI 22 — Di sebalik keadaan politik yang terumbang ambing di Perak, seakan mainan yo-yo atau roller coaster, di mana sah atau tidak Mentri Besar (MB) ditentukan oleh mahkamah, saya dapati banyak perkara yang positif dapat diambil sebagai iktibar atau pengajaran dari apa yang telah berlaku.

Pertama, krisis politik di negeri yang pernah kaya dengan bijih timah itu berjalan agak terkawal dan tidak menjadi liar yang boleh membawa ke arah keganasaan seperti di sesetengah negara lain.

Masing-masing pihak sama ada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) memilih mahkamah sebagai saluran untuk menuntut hak atau keadilan bagi pihak yang terkilan. Ini sebenarnya petanda baik bagi sesebuah masyarakat sivil.

Walau apapun dikatakan orang tentang sistem kehakiman di Malaysia, tetapi apabila berlaku ketegangan ataupun kebuntuan seperti yang terjadi di Perak itu, mahkamah menjadi tempat rujukan mereka. Justeru itu ia mempekuatkan lagi hujah kita bahawa amat penting institusi kehakiman di negara kita ini diperlihara kebebasan dan kewibawaannya.

Kedua, apabila kemudiannya jelas kelihatan bahawa mahkamah yang diharapkan untuk menyelesaikan masalah atau kemelut di Perak itu gagal dalam membantu membawa kestabilan politik apatah lagi merungkai kemelut yang ada, maka semakin kuat kita berhujah bahawa seeloknya kuasa bagi menentukan legitimasi atau keesahan sesebuah kerajaan atau seseorang Mentri Besar itu dikembalikan kepada rakyat untuk menentukannya, bukannya pada para hakim.

Justeru itu mandat bagi sesebuah kerajaan yang memerintah mesti datang dari rakyat. Jadi adalah lojik jika kebuntuan di Perak sekarang ini diselesaikan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada sekarang untuk membolehkan satu pilihanraya di adakan bagi seluruh Perak. Biar mandat baru ditentukan oleh rakyat.

Saya percaya, pemerintah mandatnya mesti datang dari rakyat. Mentri Besar yang memimpin mesti dikelilingi oleh rakyat dengan selesa bukannya dikelilingi oleh anggota polis untuk terus berkuasa.

Kerajaan yang sah tidak memerlukan dokongan dan sokongan polis untuk menjaga bangunan-bangunan kerajaan atau keselamatan para pemimpinnya. Jika sesebuah kerajaan terpaksa bergantung kepada sokongan polis itu bermakna kerajaan polis bukannya kerajaan awam yang direstui rakyat.

Ketiga, krisis di Perak ini menjelaskan lagi satu hakikat bahawa raja-raja Melayu adalah raja berperlembagaan bukannya raja mutlak. Kini kuasa raja untuk melantik atau menurunkan seseorang Mentri Besar boleh dirujuk ke mahkamah untuk semakan kehakiman (judicial review).

Ramai para pendukung sistem feudal marah-marah dan bersedih tentang hakikat ini. Tetapi bagi kita yang memandang ke depan dan mahu mara menjadi masyarakat yang demokratik dan progresif maka adalah sehat untuk melihat bahawa hakikatnya kini kuasa raja-raja adalah dihadkan oleh perlembagaan negeri masing-masing dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Amat perlu raja-raja di Malaysia memahami bahawa mereka terpaksa berkongsi kuasa dengan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang para anggotanya dipilih oleh rakyat melalui undi di dalam pilihanraya yang bebas.

Sangat cantik apabila membaca hujahan seorang hakim Mahkamah Tinggi Malaya baru-baru ini bahawa seseorang Mentri Besar apabila telah dilantik oleh Sultan, maka Mentri Besar itu bertanggungjawab terus kepada Dewan Undangan Negeri bukannya kepada Sultan.

Ini sesuatu yang positif dalam sistem demokrasi yang berasaskan kuasa datang dari rakyat dan ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri ataupun Parlimen jika di peringkat Persekutuan.

Keempat, krisis politik di Perak tidak diselesaikan di atas jalanraya. Sepatutnya ia diselesaikan di dalam Dewan Undangan Negeri. Tetapi pihak-pihak yang terlibat seperti dikatakan awal tadi memilih mahkamah untuk menjadi medan mereka berjuang bagi merebut semula kuasa.

Yang mendapat rahmat dalam perkara ini ialah undang-undang perlembagaan Malaysia akan diperkayakan dengan pelbagai penghakiman berkisar isu krisis perlembagaan di Perak sekarang ini.

Hakim-hakim di mahkamah sekarang terpaksa bekerja keras untuk mentafsirkan undang-undang kerana para politikus yang terlibat telah menguji setiap sudut dan batas perlembagaan negeri Perak dan Persekutuan.

Kelima, dapat dilihat bahawa ternyata peranan polis dan pentadbiran awam di Perak sepanjang krisis ini berlaku tidak begitu menyenangkan hati. Polis dan perkhidmatan awam sepatutnya bersikap bebas dan berkecuali ataupun neutral.

Tetapi kelihatan polis dan perkhidmatan awam begitu condong dan memihak kepada BN. Hal tidak sihat ini telah ditegur oleh Suhakam.

Polis dan perkhidmatan awam sepatutnya kekal berkecuali. Tampuk kerajaan yang dikuasai oleh parti-parti politik sebenarnya boleh bertukar ganti.

Misalnya di Perak selama ini dikuasai oleh BN dan mulai Mac 2008 bertukar kepada PR. Polis dan perkhidmatan awam yang telah sekian lama duduk di bawah pemerintahan BN mungkin agak sukar untuk menerima hakikat bahawa PR kini yang berkuasa.

Jadi apabila berlaku krisis di mana BN dapat merampas kuasa maka ternyata polis dan perkhidmatan awam kelihatan begitu ghairah untuk menyebelahi BN. Ini tidak kena. Polis dan perkhidmatan awam tidak ada kuasa untuk mengembalikan BN kepada tampuk kuasa.

Yang ada kuasa untuk berbuat demikian ialah rakyat atau lebih tepat lagi iaitu para pengundi. Sebab itu pentingnya pilihanraya yang baru diadakan di Perak. Jika BN menang dalam pilihanraya akan datang di Perak ini, tentu sahaja ia kembali berkuasa dengan cara yang sah dan mulia, tetapi tidak seperti sekarang yang kelihatan seperti coup d’etat.

Hassan Karim is president of Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Herman-Satu pandangan yang menarik dari Hassan Karim yang perlu difikirkan oleh penggubal dan pelaksana undang-undang termasuklah intitusi beraja dinegara ini.

No comments

Powered by Blogger.