Majlis Peguam: Kemelut Perak, Zambry Hanyalah Penjaga Kuasa Kerajaan Negeri Tetapi Bukannya Berkuasa Untuk Membuat Apa Juga Keputusan !!


KUALA LUMPUR [1.01 pm] - Status Zambry Kadir sebagai Menteri Besar masih samar-samar walaupun beliau mendapatkan perintah Mahkamah Rayuan semalam untuk menangguh perisytiharan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai ketua kerajaan negeri. Majlis Peguam berpendirian keputusan Mahkamah Rayuan itu bererti Zambry hanyalah penjaga kuasa kerajaan negeri atau “head of a caretaker government” sehingga rayuan penuh beliau didengar. “Oleh itu Zambry tidak harus merancang untuk memanggil sidang khas Dewan Undangan Negeri tergempar kerana beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian,” kata Naib Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee (foto). Desas-desus kencang bertiup Zambry akan memohon kepada Sultan Perak untuk memanggil sidang tergempar DUN itu bagi meluluskan usul tidak percaya terhadap Nizar. Ini untuk memintas keputusan Mahkamah Tinggi dua hari lalu yang memutuskan Nizar adalah Menteri Besar sah di isi perlembagaan negeri. Pagi tadi Zambry sendiri memilih untuk menepis pertanyaan wartawan sama ada beliau kini hanya boleh dianggap sebagai “penjaga” kerajaan negeri dan tidak lebih daripada itu. “Anda tak perlu tanya saya soalan itu. Anda patut bertanya kepada mahkamah,” jawab Zambry dalam nada tegas kepada wartawan hari ini. Dalam pada itu, Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam telah menimbulkan banyak persoalan. "Kita tetap berpegang kepada keputusan Mahkamah Tinggi dan saya masih Menteri Besar yang sah. Keputusan Mahkamah Rayuan telah menimbulkan kekeliruan dan tidak membantu menyelesaikan kemelut politik negeri Perak," kata Nizar.

[Soalnya sekarang, apakah Zambry akan mengikut segala prosedur dan undang-undang yang kononnya menjadi panduan beliau ketika membuat rayuan semalam. Nampaknya kes Perak ini bertambah bercelaru dan panas bila banyak kenyataan mula dibuat oleh pihak-pihak yang arif tentang undang-undang dan hak-hak asasi manusia seperti Majlis Peguam dan Suhakam. Malah kenyataan panas beberapa orang tokoh politik seperti bekas Naib Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya DUN Perak dibubarkan jelas sekali menggambarkan bahawa kemelut ini semakin serius dan akan lebih parah lagi bila ia tidak berlaku. Justeru itu Sultan Perak sekali lagi dipohon untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat bagi membuat keputusan menerusi pilihanraya. Baginda Tuanku Sultan Perak tidak wajar mendengar pandangan dan nasihat daripada kerajaan yang jelas amat takut dengan suara rakyat itu].

http://pahangdaily.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.