najib ingin meletak orang dia terajui petronas? hancur!

Tolong jangan usik Petronas
Nampaknya setiap kali berlaku perubahan dalam kepimpinan pentadbiran negara, maka akan berlakulah perubahan-perubahan dalam sama ada syarikat-syarikat milik kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perubahan pengerusi badan-badan atau agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, FAMA, Majuikan, MARA, LPP, Lembaga-lembaga pelabuhan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan lembaga-lembaga tender adalah biasa. Pengerusi yang dilantik adalah orang politik yang tiada jawatan dalam sektor lain dan orang yang dikatakan "orang presiden".

Ianya tidak sama dengan orang yang dilantik sama ada sebagai ahli lembaga pengarah mahupun ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat milik kerajaan mahupun GLC. CEO lazimnya orang profesional dan bukan orang politik.

Antara syarikat milik kerajaan yang mendapat perhatian ialah Petronas. Perbadanan Petroliam Nasional itu adalah lubuk, iaitu sumber utama yang mengisi dana pembangunan negara dan selama ini ia diurus dan ditadbir oleh golongan profesional dan pentadbir kanan perkhidmatan awam yang benar-benar berwibawa.

Mereka yang pernah menduduki kerusi pengerusi juga orang yang berwibawa, beramanah dan bertanggungjawab. Begitu juga dengan tokoh yang dilantik selaku ketua eksekutif atau presiden.

Berkat kepimpinan yang berwibawa selama ini, Petronas muncul sebagai satu-satunya syarikat milik kerajaan yang berjaya bukan sahaja di peringkat negara, tetapi serantau dan antarabangsa.

Petronas mendapat kepercayaan banyak negara dan syarikat minyak asing sama ada untuk menjalin kerjasama ataupun diberi amanah untuk mencari gali dan menjalankan kegiatan berkaitan termasuk di Asia Tengah, Timur Tengah dan Afrika selain di negara-negara serantau.

Kejayaan Petronas adalah berkat kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab.

Oleh itu, kita agak gusar dan bimbang sekiranya barisan kepimpinan Petronas, terutama lembaga pengarahnya yang ada sekarang diganti oleh orang yang tidak sepatutnya menduduki kerusi itu. Petronas bukan sebuah entiti yang boleh disamakan dengan badan-badan niaga lain yang berkaitan kerajaan.

Petronas adalah harta atau aset terpenting negara yang telah beberapa kali menjadi penyelamat termasuk memulihkan MISC, MAS dan institusi kewangan.

Andai kata kerajaan meletak orang yang tidak sepatutnya berada dalam Petronas, kita bimbang akan masa depan bukan sahaja Perbadanan itu tetapi sumber kewangan utama negara. Kita sedar kerajaan mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja menduduki lembaga pengarah Petronas atau mana-mana jawatan utama, tetapi orang yang hendak dilantik itu hendaklah benar-benar bertepatan dengan keperluan Petronas dan yang lebih penting, dia hendaklah orang yang beramanah, bertanggungjawab dan tiada kepentingan perniagaan lain.

Sebarang perlantikan turut diikuti dengan penuh minat oleh rakan-rakan niaga Petronas di luar negara dan andai kata orang yang dilantik itu tidak kena, maka padahnya akan diterima oleh Petronas. Keyakinan rakan niaga antarabangsa tidak kurang penting dalam melakar kejayaan Petronas.

Petronas adalah amanah rakyat. Jangan ganggu dan rosakkan amanah itu.
Posted by Syed Imran

No comments

Powered by Blogger.