Obama diingat usah ulangi kerakusan George W Bush - Nik Aziz

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dicadangkan mengadakan hubungan yang lebih baik dengan negara-negara Islam sekiranya ingin memulihkan kembali imej negara tersebut.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, presiden negara kuasa besar itu diingatkan juga tidak mengulangi kerakusan kuasa seperti diamalkan George W Bush.

"George Bush dan pemimpin Amerika Syarikat sebelumnya telah melakukan banyak kesalahan kemanusiaan sehingga melakukan serangan ke atas negara Islam.

"Amerika telah menyerang beberapa negara termasuk Iraq, Palestin, Pakistan dan Afghanistan, bahkan isu di Palestin masih belum selesai sehingga sekarang," katanya ketika menerima kunjungan Duta Amerika ke Malaysia, James R Keith di pejabatnya hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Politiknya, Haji Annual Bakri Harun.Image

Turut mengiringi duta berkenaan, Ravi Manickam. Duta terbabit semalam menemui Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said dalam rangka lawatan ke pantai timur.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sebagai sebuah negara maju serta dikenali seluruh dunia, Amerika seharusnya sedar kesilapan yang dilakukan sebelum ini sehingga memperlihatkan demokrasi kejam seperti Komunis.

Menurutnya George W Bush sebagai seorang penganut Kristian telah melakukan sesuatu yang menyimpang dari ajaran Jesus yang pentingkan perdamaian.

"Kalau ada sekali pun beberapa orang pengganas di Iraq, Palestin atau Pakistan, tetapi jumlah nyawa terkorban puluhan ribu. Ini sesuatu yang amat tidak adil.

"Saya berharap tuan dapat membawa mesej ini kepada Tuan Obama supaya beliau dapat menjaga kedamaian dunia dengan cara yang betul dan lebih bersifat perikemanusiaan," ujarnya.

Duta berkenaan kemudian berjanji menyampaikan hasrat berkenaan kepada Presiden Obama.

Beliau berkata, Obama telah cuba sedaya mengadakan hubungan baik dengan menganjurkan misi kemanusiaan melalui kerajaan kepada kerajaan.

"Tahun ini misalnya beliau telah memulakan lawatan kemanusiaan dan keamanan ke Turki.

"Bulan Jun depan Obama akan melawat Mesir bagi melihat konsep 'order baru' dunia yang membentuk kemanusiaan sejagat," katanya.

Beliau juga berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai pengaruh dalam Persidangan Negara Islam dan Gerakan Negara Berkecuali (NAM), Malaysia juga boleh memainkan peranannya.

No comments

Powered by Blogger.