PAS: Masa depan yang mencabar

MAY 12 - Satu pagi semasa berjogging di dataran Sungai Krian Parit Buntar, saya disapa oleh seseorang berbangsa Cina, dia terus berjogging sama dengan saya seraya berkata “wah sekarang PAS memang bagut (bagus) aa, lain punya parti saya tengok hau siau (teruk), tak dak prinsip, lompat parti itu memang kasi susah sama olang..”

Saya yang tercungap-cungap berlari anak hanya mengangguk tanda setuju, lalu dia pun berlari laju meninggalkan saya sambil membuat tanda “bagus” kepada saya.

Sambil terrus berlari anak saya menjadi semangat, apatah lagi baju jogging saya tertera slogan “PAS for all” dan saya terus berfikir jauh mengimbau masa silam semasa PAS menjadi parti yang cukup tidak popular di kalangan orang Cina malah menganggap parti Islam dipimpin oleh Tok lebai dan Pak Haji yang kolot dan anti Cina!

Kalaulah hari ini Dr Burhanudin, Datuk Asri dan Haji Yusof Rawa masih hidup nescaya mereka pun tak menyangka sambutan yang hebat diberikan kepada PAS oleh masyarakat Cina dan India.

Sambil saya mengimbau sejarah, saya disapa lagi oleh seseorang dengan sapaan “good morning YB!”, saya pun membalas tapi saya terus pergi jauh untuk membuat kronologi bagaimana PAS boleh sampai ke tahap ini dalam perjuangannya yang kini hampir 55 tahun.

Sudah tentu ia tidak berlaku secara spontan, saya pun membuat andaian, mengapa orang Cina dan india sekarang menyokong PAS?

Ada teori yang mengatakan orang Cina dan India adalah pengundi yang rapuh, mereka bisa saja alih selera kerana pengundi golongan ini bukan tegar, mereka cuma melihat trend yang ada.

Ada yang mengatakan mereka sudah muak dengan BN yang mereka anggap Umno “menjual” MCA dan MIC melalui kroni-kroni yang tak peduli nasib dan masa depan mereka.

Ada yang mengandaikan bahawa ini generasi lepas merdeka yang tidak mahu diikat dengan nostalgia silam dan mahukan perubahan politik multiracial yang lebih open dan progresif dimana mereka tidak melihat BN boleh membawa aspirasi ini.

Semua andaian ini mungkin belaka sehingga keputusan PRU 08 dan PRK yang berlangsung tetap menunjukkan pilihan pengundi Cina dan India adalah pembangkang dan PAS kini menjadi antara favoritenya.

Sampai di hujung jalan tempat berjogging saya dapat melihat sekumpulan auntie-auntie dari keturunan Tiong Hua, menginjut-injut badan sambil mengikuti irama lagu Cina yang dimainkan, dalam hati saya saya berkata “mungkin mereka juga memilih PAS?”

setelah membuat U turn saya terus cuba berfikir bagaimana agaknya PAS perlu menyambut banjiran ini? Yakin sokongan berbagai kaum kepadanya?

Semasa cuba menyusun jawapan sekali lagi saya teringat kata-kata Amaludin Darus ketika merasmikan PAS di Singapura pada awal 50an, dia berkata: “Saudara ahli PAS sekelian, saya sedar orang Melayu di Singapura bukannya ramai dan PAS sukar untuk memenangi kerusi di sini, tetapi ketahuilah saudar-saudara PAS sekelian, PAS juga adalah parti yang berdakwah, sekurang-kurangnya mereka dapat mengenali Islam yang PAS bawa..”

Bagi saya ini adalah pandangan jauh pimpinan awal PAS dan saya pernah juga bertemu dalam pembacaan saya tentang sejarah awal PAS di mana allahyarham Dr Zulkifli Mohammad pernah menyarankan PAS membuka keahliannya kepada bukan Islam.

Wow, pemikiran yang cukup “advance” dalam suasana politik perkauman begitu menebal tahun 50an,60an.

Semasa era kepimpinan ulamak yang awal iaitu 80an, PAS telah mengorak langkah mempamerkan imejnya untuk semua kaum dimana siri-siri dialog dan ceramah dibuat di premis persatuan-persatuan Cina, malah Pak Yusof Rawa ayahanda saya pernah berceramah di tokong cina untuk menyampaikan risalah PAS kepada masyarakat Cina.

Malah inovasi menubuhkan CCC iaitu Chinese Consultative Council adalah antara aset-aset besar PAS menyediakan tapak-tapak untuk penerimaan masyarakat berbagai kaum.

Input sejarah PAS inilah yang saya andaikan menjadi asas utama kepada jawapan bagaimana hendak menyambut banjiran sokongan pelbagai kaum kepada PAS.

Sambil tangan saya membalas lambaian para joggers yang menyapa saya, kepala saya teru ligat nak mencari formula bagaimana sokongan kaum Cina dan India ini perlu dikekalkan bukan dengan menagih simpati undi protes atau trend.

Saya tidak perlu melihat jauh, saya hanya perlu memikirkan bagaimana PAS boleh diformulasikan melalui perlembagaan parti supaya orang bukan Islam boleh menjadi sebahagian daripada entiti PAS yang diiktiraf.

Itulah pentingnya tapak kea rah itu diperkukuhkan dan saya beralih perhatian berfikir kepada Kelab Penyokong PAS yang perlu diperkasakan.

Ia perlu menjadi entiti resmi yang menjadi sayap parti secara berpelambagaan di mana kaum India dan Cina berperanan melaksanakan ‘reaching out’ kepada segmen pengundi-pengundi berbagai kaum.

Malah saya mengandaikan jika impian ini menjadi reality, barulah PAS dilihat benar-benar ikhlas dalam menjadikan dirinya “a trully multiracial party”.

Namun saya faham, hakikat ini bukan mudah untuk diterima oleh semua ahli PAS, di sana ada kebimbangan bagaiman dengan entity Islamnya?

Dan bagaimana bukan Islam harus berligar di sekitar system parti yang tersedia ada?

Saya mempunyai jawapannya melalui kertas kerja yang saya bentangkan di Langkawi pada November 2008 untuk kepimpinan PAS bahawa satu sayap untuk mereka diperlukan dan mereka boleh menumpukan sayap itu sebagai platform mereka dimana keperwakilan mereka dalam kepimpinan parti ialah melalui kuota yang ditetapkan.

Saya akur kita tidak boleh membuka keahlian secara mutlak, sekurang-kurangnya bukan waktu permulaan ini, bagi saya sayap parti yang dianggotai oleh mereka adalah sesuatu yang praktikal.

Tanpa saya sedari semasa ini, larian saya menjadi lebih kencang kerana bersemangat untuk menjadikan ide ini satu kejayaan dalam masa yang terdekat.

Sampai dihujung sebelah satu lagi saya kena buat u turn dan saya terus melayan ide saya tentang bukan Islam dalam PAS, tapi saya terus merencanakan bahawa pada waktu yang sama PAS juga harus konsisten dalam retoriknya “PAS for all”.

Ia tidak boleh jadikan slogan ini hanya untuk meraih undi, PAS mesti bela melalui kuasa yang ada padanya di negeri Kedah dan Kelantan khususnya. Stigma membela kaum lain akan dilihat membelot kaum Melayu perlu dijauhi hatta dalam PAS sendiri.

Perkiraan perkauman mesti berobjektif membela atas keperluan dan hak beragama bukan pemberian tetapi hak yang perlu dihormati oleh perlembagaan.

Bagi saya perjuangan PAS menjadi semakin mencabar, apakah para perwakilan yang akan mengundi kepimpinan baru mengambil kira semua ini?

Saya berhenti berlari anak kerana berfikir dalam hal ini ada sedikit beban, saya terus berjalan laju sambil secara tidak sedar saya menggeleng kepala keran memikirkan betapa rumitnya masa depan PAS jika benar-benar ia berazam untuk melucuri era perubahan lanskap politik tanahair.

Dasar Islam yang PAS bawa sekali-kali tidak mengizinkan penindasan atas perkauman, ia perjuangan rahmatan lil alimin (pembawa rahmat bagi sekelian alam).

Seolah-olah semacam diberi signal untuk berhenti kerana buntu untuk berfikir lagi, jam di tangan pun menunjukkan sudah 8.10 pagi, itu tandanya saya kena balik kerana pukul 9pagi ada mesyuarat Pusat Khidmat saya.

Sambil berjalan ke kereta saya dalam keadaan berpeluh tetapi segar, orang Cina yang menegur saya pada awalnya menyapa saya sekali lagi sambil dia berkata “PAS for all!”\

http://www.themalaysianinsider.com/index.php

No comments

Powered by Blogger.