pemimpin pas menang dalam permainan politik pihak lawan!

Pimpinan Pas Kelantan membisu soal politik

KOTA BAHARU: Pimpinan Pas Kelantan yang kebelakangan ini menjadi perhatian kerana kerap membuat kenyataan berhubung parti menerusi media, hari ini mengambil sikap membisu dan enggan memberi ulasan berkaitan parti secara terbuka.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat, sendiri "mengunci mulut" dan tidak menjawab sebarang pertanyaan ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, di sini, petang tadi.

Walaupun diasak pelbagai soalan, Menteri Besar Kelantan itu hanya membisu dan terus berjalan menuju ke kereta yang sedia menunggu, sedangkan semalam, beliau begitu bersemangat bercakap mengenai parti, termasuk pendiriannya mengenai individu yang layak memimpin Pas menjelang pemilihan parti itu Jun ini.

Nik Abdul Aziz menegaskan, hanya golongan ulama profesional yang layak memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas, dua jawatan tertinggi parti itu.

Pada masa sama beliau mahu sesiapa yang ingin bertanding, terutama untuk jawatan nombor satu dan nombor dua parti itu, supaya bermuhasabah diri sama ada mereka benar-benar menepati kriteria kelayakan yang ditetapkan.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, yang sebelum ini membayangkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden walaupun penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa, telah mengesahkan untuk mempertahan jawatan, juga berdiam diri ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu.

Husam hanya berkata beliau berpuasa daripada bercakap soal politik menerusi media untuk beberapa ketika bagi mengelak timbul salah faham di kalangan anggota parti itu.

Katanya, terlalu banyak kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti itu menerusi media berhubung pemilihan pimpinan baru Pas dalam muktamar nanti yang dibuat sejak kebelakangan ini, akan menimbulkan keresahan di kalangan ahli dan penyokong parti itu.

"Saya sekarang 'berpuasa' daripada bercakap soal parti. Lagi banyak ia dibincangkan dalam akhbar lagi menimbulkan keresahan kepada anggota parti. Tumpuan utama saya adalah soal perpaduan parti supaya imej Pas tidak terjejas menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti," katanya kepada pemberita semalam.

Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, yang juga mendapat tempat di media beberapa hari lalu apabila mengaitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kemelut yang melanda Pas, juga tidak mahu lagi membuat sebarang kenyataan berkaitan parti, termasuk apa yang dibincangkan pada mesyuarat hari ini.

Takiyuddin yang turut berada di situ berkata, pada mesyuarat mingguan pentadbiran parti yang dipengerusikan Nik Abdul Aziz sejurus sebelum itu juga tidak langsung menyentuh hal-hal berkaitan dengan Muktamar Tahunan Pas ke-55 yang akan diadakan di Selangor nanti.

Beliau juga menafikan ada arahan tutup mulut daripada pihak atasan parti bagi memastikan tidak ada pemimpin Pas membuat kenyataan menerusi media.

Perkembangan yang berlaku dalam Pas sejak akhir-akhir ini turut merisaukan Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar, yang mempertikai keghairahan segelintir pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan yang jelas bertentangan dengan perlembagaan parti.

Mahfuz berkata, pemimpin Pas yang ingin membuat sebarang kenyataan perlu merujuk terlebih dahulu kepada perlembagaan parti supaya kenyataan mereka tidak bercanggah dan diperlekehkan pihak tertentu.

"Saya menasihatkan pemimpin Pas supaya merujuk perlembagaan parti terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Sekiranya kenyataan itu tidak berasas dan bercanggah dengan perlembagaan parti kita akan diketawakan.

"Semua orang boleh mengeluarkan kenyataan namun perlu merujuk perlembagaan parti. Perkara ini perlu diikuti semua pemimpin Pas," katanya.

Ada yang melihat apa yang berlaku itu membuktikan konsep musyawarah yang diuar-uarkan digunakan untuk menyelesaikan masalah dalaman parti yang timbul dalam Pas tidak dapat dipraktikkan atau masih tidak berkesan sehingga ada pihak yang menggunakan saluran media sebagai medium mereka menyatakan pendirian.

Tidak hairan keghairahan sesetengah pihak melobi diri untuk merebut jawatan dalam parti serta membuat kenyataan tanpa merujuk perlembagaan terlebih dahulu, meresahkan ahli dan penyokong Pas.

Bagi Pengerusi Kelab Penyokong Pas Nasional, Hu Pang Chaw, perkembangan yang berlaku di kalangan pimpinan Pas Kelantan membayangkan sudah ada di antara mereka yang 'lari' dari fokus dan landasan perjuangan parti yang sebenar.

"Sebelum ini kita sokong Pas kerana Pas teguh memperjuang prinsipnya, tapi kini kita lihat mereka seolah-olah sudah ada yang hilang punca. Jika perkara ini berterusan, penyokong Pas bukan Islam nanti muak dan mencari alternatif lain," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.