PPSMI: Tan Sri Muhyiddin Usah Berlengah Lagi


1. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dikatakan mengarahkan kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilanjutkan. Ini kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil kajian yang telah dibuat.

2. Satu-satunya rujukan intelektual perlaksanaan PPSMI adalah Tun Dr Mahathir.

3. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) malah ditolak oleh kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup. Hari ini di Rumah Pena, enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama telah diedarkan (lihat laporan Malaysiakini
di sini)

4. Dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan". Tiga lagi Sasterawan Negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

5. Sekiranya UMNO mahu meraih kembali sokongan penuh intelektual Melayu, adalah wajar kerajaan berhenti merujuk Tun Dr Mahathir dalam isu ini; dan kembali merujuk sekian banyak hujah intelektual dari sekian ramai cendekiawan. Oleh itu, berhentilah menjadi degil. Berubahlah, dan lakukanlah transformasi seperti yang diwarwarkan dalam konsep SatuMalaysia. Segeralah. Jangan berlengah lagi. Semakin ia dilengahkan semakin UMNO kehilangan rasa hormat daripada golongan terpelajar.

6. Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Sasterawan Negara yang masih hidup kerana turut serta dalam perjuangan jerih memartabatkan bahasa Melayu, yang kini telah memasuki dekad kelima sejak negara mencapai kemerdekaan.

faisal tehrani

No comments

Powered by Blogger.