Raja Perempuan mahu amalan masyarakat berteras al Quran

Para hufaz (penghafaz al-Quran) boleh menjadi pencetus dan pemangkin kepada kebangkitan generasi al-Quran di kalangan umat Islam di negara ini.
Iklan




Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid bertitah amalan dan budaya masyarakat di negeri ini hendaklah berteraskan al-Quran.

Ini kerana titah baginda sejarah kejayaan umat Islam pada masa lalu membuktikan peradaban Islam yang tinggi hasil daripada mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasululah saw.

Oleh itu baginda merakamkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada mereka yang terbabit dengan penubuhan institusi tahfiz al-Quran di negeri ini sehingga dapat melahirkan ramai para hufaz terutama di kalangan generasi muda.

"Perkembangan yang positif ini adalah satu sumbangan yang baik kepada umat Islam dalam memenuhi aspirasi Kelantan sebagai negeri jolokan Serambi Mekah dan Negeri Tadahan Wahyu," titah baginda pada program Himpunan Hufaz di Balai Islam baru-baru ini.

Program itu diadakan sempena 30 tahun pemerintahan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Menurut baginda Imam Al-Ghazali menyebut terdapat kira-kira 12 peratus dari kandungan al-Quran yang membicarakan secara langsung berhubung ilmu pengetahuan.

"Status seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan begitu tinggi penghormatannya sehingga Rasulullah saw memberi julukan sebagai pewaris Nabi," titah baginda.

Baginda juga berharap para hufaz supaya sentiasa memberi sumbangan kepada masyarakat dengan mengajar al-Quran.

Hadir sama pada program itu Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco dan pegawai kerajaan.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tiga prinsip yang dijadikan asas utama pentadbiran kerajaan negeri adalah berpandukan al-Quran, iaitu ubudiyyah, mas'uliyyah dan itqaan.

"Dalam al-Quran mengandungi hukum dan keputusan Allah swt termasuk membabitkan permasalahan kehidupan manusia.

"Ketetapan al-Quran menjadi kata pemutus dan tiada sebarang keraguan di dalamnya," katanya.

Menteri Besar juga berkata, alim ulama tidak pernah puas kerana sentiasa melakukan kajian terhadap isu kandung al-Quran.

Hafal 30 juzuk usia 10 tahun

Manakala dalam perkembangan berkaitan johan menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-30 kategori satu hingga 30 juzuk, Muhamad Ahmad Zahid berkata, calon hafiz dan hafizah hendaklah banyak bersabar ketika menghafal al-Quran.

Menurutnya menghafaz al-Quran agak mudah, namun untuk menjaganya ayat-ayat yang dihafal terlalu sukar.

"Kita hendaklah menghafaznya secara berterusan, sedikit-sedikit pun tidak mengapa asalkan berterusan dan mesti rajin mengulang,� katanya ketika ditemui di sini.

Pada majlis menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan yang diadakan di sini, baru-baru ini beliau yang berasal dari Wilayah Persekutuan muncul sebagai johan.

"Nasihat saya kepada remaja dan kanak-kanak khususnya calon hafiz dan hafizah hendaklah menghormati ibu bapa dan mengikut perintah Allah swt.

"Selain itu mestilah rajin berjemaah di masjid oleh kerana amalan itu mampu membentuk keperibadian manusia," katanya.

Muhamad memasuki pertandingan menghafaz al Quran sejak 2007. Beliau mulai menghafaz sejak berumur tujuh tahun dan menamatkan hafalan sehingga 30 juzuk ketika berusia 10 tahun.

"Ini bermakna dalam masa tiga tahun saya sudah menghafaz 30 juzuk,� katanya.

Beliau mendapat galakan menghafaz al-Quran daripada bapanya, seorang peguam dan ibunya doktor.

Beliau juga memberitahu masa yang lebih senang untuk menghafaz ialah sebelum dan selepas Subuh.

No comments

Powered by Blogger.