selama ini BN memang masuk perangkap pakatan?

PUTRAJAYA 19 Mei - Keputusan tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini tidak menjejaskan imej Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, imej BN akan terjejas jika ia gagal memberi tumpuan kepada mengurus dan mentadbir negara.

Sebab itu katanya, BN tidak mahu terperangkap dengan permainan politik pembangkang kerana ia akan terus membantutkan usaha membantu rakyat dan negara ini menghadapi krisis ekonomi semasa.

''Imej BN tidak akan terjejas tetapi akan lebih terjejas jika perkhidmatan kita kepada rakyat dan negara ini tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

''Kita tidak berupaya memberi tumpuan kepada pengurusan dan pentadbiran kerajaan jika kita lebih banyak bertumpu menghadapi pilihan raya kecil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 371 pegawai dan kakitangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini hari ini.

Semalam, Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti kerana kekosongan itu bukan disebabkan oleh peruntukan di dalam perlembagaan tetapi disebabkan kerana Parti Keadilan Rakyat hendak menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Pada 27 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 23 Mei ini dan pengundian pada 31 Mei.

Kerusi DUN itu kosong berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya Mohammad Fairus Khairuddin melalui surat bertarikh 19 Mac 2009.

Mohd. Shafie memberitahu, BN perlu mengutamakan keperluan rakyat kerana ia merupakan tanggungjawab dan tugas utama setelah diberikan mandat untuk memerintah pada pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, beliau menambah, adalah lebih baik melaksanakan mandat tersebut daripada mengikuti rentak parti pembangkang yang hanya mahu memanipulasikan sesuatu isu.

''Pilihan raya sudah berlaku dan takkan kita nak adakan pilihan raya setiap bulan atau setiap tahun.

''Oleh kerana ada pihak tertentu tidak puas hati dan mereka merasakan perlu ada pilihan raya, maka diadakan pilihan raya," katanya yang juag Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sementara itu menyentuh mengenai kementeriannya, Mohd. Shafie berkata, beliau mahu pegawai di setiap agensi dan jabatan mengamalkan budaya 'turun padang' secara berterusan daripada hanya meneliti laporan yang diterima.

''Budaya itu bukan hanya akan mendekati kita dengan masyarakat di akar umbi tetapi boleh menilai prestasi pelaksanaan perkhidmatan yang kita berikan dengan lebih berkesan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.