Soal ketelusan badan kehakiman, Mahfuz sanggah Khairy

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung ketelusan badan kehakiman negara.

Mahfuz menegaskan kepada Harakahdaily, menjadi amalan biasa bagi orang yang melakukan kesalahan untuk menafikan apa yang berlaku.

Khairy juga, tegas Mahfuz, menafikan apa saja yang tidak kena dengan Umno termasuk menafikan beliau disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan parti itu Mac lalu.

“Buktikan apa saja kepada Khairy, beliau akan nafikan termasuk menafikan disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan Umno Mac lepas.

“Perkara ini bukan perkara baru dan sudah menjadi tradisi bagi pihak yang melakukan kesalahan untuk menafikan segala bentuk kecaman terhadap mereka,” tegas Mahfuz.

Beliau tetap mengatakan kenyataan yang dibuatnya berhubung keputusan mahkamah berhubung isu di Perak mempunyai asas kerana Ketua Hakim Negara merupakan ahli Umno dan pernah memegang jawatan dalam parti tersebut.

Mahfuz menegaskan kerana adanya individu seperti Tan Sri Zaki Tun Azmi maka tidak mustahil Umno akan menggunakan ejen-ejen mereka dalam badan kehakiman untuk membuat keputusan yang berpihak kepada mereka.

Sehubungan dengan itu, beliau mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka isu ketelusan institusi kehakiman tidak kira di mana-mana tempat.

Sebelum ini Khairy dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam sebuah akhbar pada 15 Mei lalu berkata tidak ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mencampuri urusan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kemelut politik di Perak.

Sebaliknya beliau berkata, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar yang membuat dakwaan tidak berasas dalam isu tersebut.

No comments

Powered by Blogger.