Tiada Mahkamah Yang Isytiharkan Zambry Menteri Besar Yang Sah


Semua berita tengahari tadi melaporkan:

"Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut."


Saya ada sedikit kemusykilan tentang keputusan Mahkamah Rayuan itu. Saya ingin bertanya kepada mereka yang arif dalam bidang undang-undang, kerana saya memang tidak tahu jawapan kepada soalan berkenaan. Jika hendak kata soalan saya ini soalan bodoh, silakan, kerana saya akui saya memang jahil tentang undang-undang (walaupun semasa belajar di sebuah IPTA tertua negara ini dulu saya pernah ambil dua kertas undang-undang untuk suka-suka dan lulus dengan baik pula tu).

Soalan saya ialah:

i) Adakah Mahkamah Rayuan tengahari tadi ada memutuskan Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah seperti keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan Nizar adalah Menteri Besar yang sah?

ii) Adakah Mahkamah Rayuan tengahari tadi ada memutuskan Nizar bukan Menteri Besar yang sah sehingga keputusan sebaliknya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan?

iii) Adakah Mahkamah Rayuan tengahari tadi ada mengeluarkan apa-apa arahan kepada Nizar untuk mengosongkan pejabat Menteri Besar yang didudukinya sehingga tengahari tadi, seperti arahan Mahkamah Tinggi yang meminta Zambry dan Exconya mengosongkan pejabat mereka?

Jika semua jawapan kepada soalan itu ialah "tidak", jadi mengapa Zambry tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke pejabat Menteri Besar pada esok pagi dan siapa yang mengarahkannya berbuat demikian?

Bagi sesiapa yang mahir undang-undang, boleh tak tolong luangkan masa memberitahu saya apa jawapannya. -pendikargunungkriang


No comments

Powered by Blogger.