'Tiada politik, hanya isu kambing'

Kunjungan menteri besar Terengganu "tiada tujuan politik" tetapi semata-mata untuk membeli kambing boer yang diternak timbalan pesuruhjaya PAS negeri, demikian disahkan sekali lagi oleh seorang pemimpinnya.

Ahli parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut turut berada di rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib baru-baru ini ketika pertemuan dengan Datuk Ahmad Said.

"Datuk Ahmad datang hanya hendak beli kambing untuk zoo Kemaman.

"Hal politik tidak dibincangkan, kerana kedatangan menteri besar ke rumah Datuk Harun adalah secara kebetulan," jelas Abdul Wahid, yang juga yang dipertua PAS Kuala Terengganu.

"Datuk Ahmad ketika itu baru pulang melawat orang mati di kawasan Gong Badak, tidak jauh dari rumah Datuk Harun.

"Dia telefon Datuk Harun dulu tanya ada di rumah atau tidak. Apabila Datuk Harun kata ada, baru dia datang.

"Lepas selesai urusan beli kambing, kami ramai-ramai minum di sebuah kedai dekat rumah Datuk Harun."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Wahid berkata Ahmad berkunjung ke rumah ADUN PAS itu beberapa hari selepas sidang DUN lalu.

Persidangan DUN Terengganu selama tiga hari hingga 15 April lalu mengejutkan politik negara apabila 10 ADUN Umno memulaukannya pada hari kedua dengan alasan nyawa mereka terancam susulan mesej SMS ugutan.

Kunjungan menteri besar itu ke rumah bekas ketua Dewan Ulama PAS itu menimbulkan spekulasi kemungkinan wujud perbincangan politik antara parti itu dengan Ahmad yang kini dipertikaikan oleh 18 ADUN Umno, termasuk 10 yang tidak hadir di persidangan dewan.

Siasatan polis berhubung SMS ugutan belum selesai - Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, pegawai kanan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh kini dicari polis bagi membantu kes tersebut.

Seperti penjelasan Harun minggu lalu, Abdul Wahid berkata, PAS sedia berbincang dengan menteri besar kerana memang dasarnya boleh berbincang dengan sesiapa sahaja.

"Tetapi kita hendak tahu apa yang hendak dibincang itu, bukan bincang terus," katanya.

Harun mengesahkan Ahmad membeli kambingnya dan mereka berdua tidak membincangkan isu politik.

Kerajaan negeri membuka zoo pertamanya seluas 54 hektar yang terbesar di pantai timur dan antara "10 terbaik di Asia Tenggara" di Bukit Takal, Kemaman pada Mac lalu untuk mempamerkan sekurang-kurangnya 100 spesis haiwan.

No comments

Powered by Blogger.