umno tengah sembelit!

Umno Belum Putus Bertanding Di Penanti: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno belum membuat keputusan sama ada akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Penanti pada 31 Mei ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata mesyuarat Biro Politik Umno di Putrajaya tengah hari Isnin tidak membincangkan isu itu.

"Kita bincang banyak perkara. Belum ada keputusan apa-apa," katanya kepada pemberita selepas melawat Dewan Bahasa dan Pustaka di sini Isnin.

Kerusi Penanti kosong setelah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat mengosongkannya dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran.

Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya pada 24 April lepas, telah menyerahkan kepada Biro Politik untuk membuat keputusan sama ada Umno akan meletakkan calonnya setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa pilihan raya kecil seperti itu membazir wang dan tidak sepatutnya diadakan kerana ia bukan disebabkan oleh sebab yang kukuh seperti kematian penyandangnya.

Mengenai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) M. Manoharan yang mahu meletak jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Kota Alam Shah, Muhyiddin berkata demokrasi tidak sepatutnya disalahgunakan.

"Selepas pilihan raya, rakyat sudah memilih parti dan wakil rakyat yang mereka mahu. Sekarang adalah masa untuk wakil rakyat bekerja menjalankan tugas dan tanggungjawab.

"Kebelakangan ini, ada parti tertentu yang tidak mengambil sikap bertanggungjawab terhadap pengundi dan meletak jawatan atas niat mereka sendiri. Tidak ada sebab munasabah.

"Parti yang kata adil kepada rakyat (tetapi) dia tidak berlaku adil kepada rakyat. Calon (yang) dah menang sepatutnya jalan tugas dengan baik," katanya.

Mengenai alasan Manoharan mahu meletak jawatan kerana sukar berkhidmat disebabkan di tahan mengikut, Timbalan Perdana Menteri berkata tahanan ISA tidak sepatutnya menyebabkan beliau menggugurkan jawatannya sebagai wakil rakyat kerana beliau masih ada masa sehingga pilihan raya akan datang untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Lagipun beliau ditahan atas pertimbangan tertentu oleh pihak berkuasa," katanya.

Ditanya mengenai tulisan blog kononnya Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mahu menyertai pembangkang, Muhyiddin berkata beliau tidak percaya dengan perkara itu memandangkan Chua kawan baiknya, dan pada satu pertemuan mereka minggu lepas, Chua tidakpun menceritakan kepadanya untuk keluar MCA.

"Yalah, pihak di sana (pembangkang) tak putus-putus berusaha nak tarik mana yang boleh dia tarik untuk sokong mereka," katanya.

Muhyiddin berkata beliau yakin pemimpin Barisan Nasional tidak mengira dari parti manapun, mereka tahu apa asas perjuangan mereka.

"Mereka sudah lama dalam BN. Tak mudah berhijrah pendirian mereka kepada yang lain," katanya.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.