Amanat Tok Guru Kepada Pengundi Permatang Pasir!

Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mahu pengundi Permatang Pasir mengekalkan kerusi yang dimenangi PAS ini dengan majoriti lebih besar.

"Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh Pakatan dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno-BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil.

"Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. "Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. Insya-Allah, ini akan berlaku tidak lama lagi," kata beliau dalam teks pesanan yang diperoleh petang tadi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, melihatkan trend sokongan bukan Islam kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah membawa kemenangan Datuk Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, "Saya cukup mempunyai keyakinan."

"Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 (Permatang Pasir) ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009.

"Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno-BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang," katanya.

Beliau juga meminta agar digunakan kesempatan pilihan raya kecil kali ini dengan penuh cermat.

"Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan itu pernah membawa kemenangan yang besar?

"Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekali gus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidakadilan," katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.